Saturday 17 November 2012

Hijrah : Antara Strategi dan Dakwah

Justeru merenung perkataan Hijrah, kita akan membayangkan episod penting dalam sejarah Islam yang menyaksikan penghijrahan Rasulullah dan para sahabat baginda daripada Kota Mekah ke Kota Madinah. Namun begitu sewajarnya kita melihat dari introspektif yang lebih dalam dan “hikmah” . Perjalanan sepanjang 320 kilometer selama lapan hari ini menjadi nota penting dalam sejarah peradaban dunia.

Hijrah merupakan peristiwa agung yang menjadi titik peralihan dalam  pengembangan dakwah Islam sekali gus menjadi batu asas pembinaan sebuah negara Islam pertama di Toyyibah ( nama asal sebelum ditukar ke Yathrib dan kini dikenali sebagai Madinah ). Apa yang lebih penting, sirah agung ini mengajarkan kepada kita dua aspek yang utama dalam kehidupan  iaitu strategi dakwah dan konsep tawakkal .

 Teringat kata-kata seorang tokoh falsafah, “Ini adalah bukan apa yang kita lihat, tetapi BAGAIMANA KITA MELIHAT”. Kita perlu melihat bahawa hijrah bukan hanya peristiwa, tetapi lebih daripada itu iaitu sebuah didikan/ajaran/teladan ALLAH dan RASULULLAH yang perlu kita telesuri bersama. Melihat kepada sirah agung ini, bagaimana Rasulullah menyusun strategi dalam penghijrahan baginda dan kaum muslimin yang lain.

Kenapakah Rasulullah memerintahkan kaum Muslimin untuk berhijrah terlebih dahulu sedangkan baginda tahu yang pada ketika itu sedang giat perancangan musyrikin untuk membunuh baginda? Kenapa Rasulullah membenarkan Umar Al-Khattab R.A mengumumkan penghijrahannya kepada kaum Quraisy? Kenapa Rasulullah memilih untuk berhijrah bersama Abu Bakar bukan orang lain? Kenapa Rasulullah memilih Ali bin Abi Talib untuk menggantikan tempat tidur baginda ? Kenapa Rasulullah keluar melalui tingkap bukan melalui pintu sebagaimana biasa? Kenapa Rasulullah menggunakan khidmat pakar geografi dari kalangan musyrikin iaitu Abdullah bin Uraiqith untuk menjadi petunjuk jalan Baginda? Tidak bimbangkah Rasulullah bahawa Ibn Uraiqith akan mengkhianati Baginda? Adakah tiada pakar geografi dari kalangan muslim pada waktu itu? Kenapa Rasulullah menggunakan jalan jauh dan bukan jalan biasa? Kenapa Rasulullah berhenti di Gua Thur yang mana muka gua tersebut menghadap Madinah? Bagaimana kaedah motivasi Rasulullah dalam menangani ketakutan Abu Bakar semasa mereka dalam gua? Kenapa Rasulullah memerintahkan Asma` Binti Abi Bakar untuk menghantar makanan sedangkan Abdullah Ibnu Umar juga diperintahkan untuk membawa khabar berita. Mengapa khabar berita tersebut tidak disampaikan terus kepada Asmaa lantas memudahkan kerja iaitu hantar makanan sekali gus membawa khabar. Apakah ada perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam menyampaikan berita? Untuk apa kambing dibawa bersama Asmaa? Adakah sekadar untuk mengambil susu? Ataupun ada hikmah tersembunyi di sebalik kambing? Mengapa  tanggal 8 Rabiul Awal dipilih untuk memulakan hijrah?

Semua persolan di atas telah dijawab oleh ulama` dalam maqalah-maqalah ilmu mereka, tinggal saja kita sama ada mencari dan mengkaji atau kita terus terlena. Babak penghijrahan baginda ini menyaksikan kepada dunia Islam bahawa perlunya satu strategi yang ampuh untuk kita melaksanakan tugasan dakwah. Jika tidak, bukankah mudah bagi Rasulullah hanya berdoa agar ALLAH menjaga keselamatan Baginda bahkan ALLAH sudah pun menjanjikan keselamatan bagi baginda. Bukankah boleh Rasulullah berdoa agar ditidurkan sahaja semua musyrikin sebagaimana peristiwa Rasulullah keluar dari rumahnya pada malam tersebut seterusnya mudah bagi Rasulullah untuk keluar berhijrah? Kenapa pelbagai strategi dirangka dan direncana? Hal ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengajar kita akan strategi dalam melaksanakan sesuatu. Kata Sayidina Ali R.A  "الحق بلا النظام يغلب الباطل بالنظام". Maksudnya, kebenaran tanpa perancangan akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang terancang.

Sehubungan dengan itu, wajib ke atas kita untuk membuat perancangan dalam setiap perkara apatah lagi ia melibatkan masa depan kita iaitu pembelajaran dan pengajian kita. Amat sedih dewasa ini ketika mana mahasiswa masih lagi tidak jelas akan matlamat pengajiannya sehingga ada yang tidak tahu memilih jurusan apa yang bakal mereka pilih. Sebagai mahasiswa Islam, ceduklah iktibar daripada peristiwa Hijrah ini, jadikan perancangan sebagai titik permulaan langkah kita. Bercakap soal perancangan, Dr Stephen R. Covey menukilkan dalam bukunya 7 Habits Of Most Influence People, Begin with the end in your Mind, sarjana barat mengatakan “If you fail to plan, you plan to fail”.
 
Justeru itu, perancangan ini bukan hanya disarankan oleh dunia barat, bahkan Islam terlebih dahulu mengajarkan kita agar berperancangan. Maka rancanglah laluan dan perjalanan akademik kita dengan bertunjangkan Islam dan dakwah. Biarlah segala perancangan kita tadi menjurus ke arah meninggikan kalimah ALLAH. Kerana apalah gunanya kejayaan akademik , bijak pidato dan penulisan sekiranya perkara itu hanya menjauhkan kita dengan Islam. Kerana apalah gunanya kejayaan yang membuatkan kita lupa pada ALLAH.



Bibliografi:
Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh  : Abdul Rahman Shaari
Hijrah : Permulaan sebuah Kegemilangan : Abdul Latib Talib
Negotiating Secret : David Brown

Read more...

Friday 26 October 2012

Eidul Adha Bukan Sekadar Pengorbanan

Lama sungguh jari jemari ini tidak menari. Bukan kerana tidak ingin berkongsi tetapi masa yang membatasi. Namun kedatangan `Idul Adha 1433H kali ini sememangnya memberi seribu satu makna kepada diri penulis lantas “mencuri” masa sebentar untuk mencoretkan sedikit kata, semoga bermanfaat untuk semua.

Daku menulis bukan untuk nama,
Bukan jua untuk harta,
Apatah lagi untuk dunia,
Tetapi bilamana jari jemari ini kian melenggok,
Menari alunan bisikan hati dan nurani,
Dipandu ilmu dan iman yang jitu,
Semoga beroleh manfaatnya nanti.

Pengorbanan Vs `Idul Adha

Bilamana kita sebut mengenai `Idul Adha, maka ramai yang membuat pelbagai andaian dan mereka memandang dari perspektif  yang pelbagai. Ada yang melihat Hari Raya Qurban ini adalah acara penyembelihan lembu, ada yang memandang ini adalah musim daging, ada yang berpendapat bahwa ini adalah sekadar adat sahaja bermula dengan Khutbah,Solat Hari Raya, bermaafan sesama keluarga. Namun tidak kurang yang memandang perkara ini mengikut lunas sirah Nabi Allah Ibrahim A.S. Menelusuri sejarah dan sirah bagaimana seorang ayah sanggup menyembelih anak yang didambakan sekian lama. Hal ini sekali gus menuntut sifat taabud dan taat yang sangat tinggi. Allah menguji hambaNya yang beriman dengan ujian yang berat dan setimpal dengan keimanan mereka. Tidak Allah timpakan bebanan yang tidak mampu digalas oleh mereka. Sebagai contoh adalah bagaimana ujian Allah timpakan kepada Nabi Ibrahim AS. Bertahun-tahun kahwin tetapi tidak mempunyai anak bersama Siti Sarah. Sekali gus ini merupakan suatu pengorbanan yang tinggi yang mesti dilalui mereka berdua.Lalu diilhamkan Siti Sarah untuk mengahwinkan suaminya dengan Siti Hajar, seorang gundik puteri Mesir yang dihadiahkan Raja Mesir kepada Siti Sarah. Tentu saja remuk hati seorang perempuan tatkala diduakan oleh suaminya, namun landasan iman dan taqwa yang mengatasi segala perasaan Siti Sarah. Sesungguhnya ini adalah suatu pengorbanan yang besar ditunjukkan oleh Siti Sarah. Betapa kita melihat besarnya jiwa beliau dalam menghadapi perkara sesulit ini.


Setelah Nabi Ibrahim As mengahwini Siti Hajar dan saat beliau mengandungkan Ismail AS, maka Allah memerintahkan Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya di padang pasir yang tiada tempat berlindung dan tiada sumber air dan makanan. Beberapa kali Siti Sarah merayu agar Nabi Ibrahim jangan meninggalkan mereka berdua tetapi Nabi Ibrahim tetap tegas meninggalkan mereka sehinggalah Siti Sarah bertanya, “Adakah ini perintah Allah?” Nabi Ibrahim menjawab “Ya, Ini adalah perintah ALLAH”, beliau terus pergi tanpa menoleh ke belakang bimbang perasaan belas kasihan akan menelubungi dirinya dan akan menggugat dirinya menjalankan perintah tuhannya. Lalu redha Siti Sarah dengan ketentuan dan ketetapan ALLAH. Tuan, bayangkan betapa besarnya pengorbanan yang mereka tempuhi, ditinggalkan keseorangan di padang pasir(Mekah sekarang). Hal ini memperlihatkan kesabaran yang tinggi ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim As dan Siti Sarah. Sehubungan dengan itu, betapa episod pengorbanan mereka berterusan sehinggalah Allah swt memerintahkan Ibrahim AS untuk mengorbankan apa yang paling disukainya dan mimpi ini datang berulang kali. Setelah menakwilkan mimpi tersebut, Nabi Ibrahim sedar bahawa yang paling disukainya adalah Ismail AS. Anak yang didambakan sekian lama, ditunggu-tunggu berpuluh tahun, sampai masanya ALLAH memerintahkannya untuk disembelih. Apa perasaan seorang ayah apabila hendak menyembelih anaknya? Ini jelas menunjukkan jika kita ingin berkorban, maka korbankan perkara yang paling kita sukai. Sehubungan dengan itu, Nabi Ibrahim tidak seperti manusia yang lain, ketaatan kepada ALLAH mengatasi segala-galanya. Mentaati perintah ALLAH adalah WAJIB baginya, tidak mungkin baginda melanggar arahan ALLAH.

Justeru, pengorbanan Nabi Ibrahim as wajar kita telusuri bersama. Sungguh besar pengorbanan baginda sehingga Allah swt menjadikan Hari Raya I`dul Adha adalah untuk memperingati pengorbanan yang telah baginda tempuhi. Sahabat, ingatlah bahawa semakin besar pengorbanan kita, semakin besar jasa kita, semakin besar jasa kita semakin kita dihargai, semakin kita dihargai semakin kita disayangi, semakin kita disayangi semakin berbahagia kita. Sehubungan dengan itu, hari raya yang kita sambut pada hari ini berkait rapat dengan pengorbanan Ibrahim AS dan wajiblah bagi kita berkorban untuk agama islam tercinta ini.


Pengorbanan & Mahasiswa

Disebut mahasiswa pastinya ramai berpendapat bahawa mahasiswa adalah harapan negara sehinggakan satu slogan pernah diutarakan iaitu “Mahasiswa mewajahi ummah”. Namun perlu diingat, harapan yang besar ini perlu digalas PENGORBANAN yang besar. Mana mungkin mahasiswa yang intelek dapat dilahirkan jika kita masih berada di takuk lama. Masalah-masalah yang melanda mahasiswa dewasa ini amat menggerunkan kita semua. Nama sahaja penuntut universiti tetapi adab dan akhlak entah ke mana, nama saja mahasiswa tetapi minda seperti mereka yang tidak bersekolah, nama mahasiswa tetapi mengandungkan anak luar nikah. Ada mahasiswa yang hanya “mahasiswa”, paginya ke kuliah, petangnya balik kuliah, malam membuang masa dan hanya melepak kat rumah, tanpa ada sekelumit jasa untuk ummah. Mahasiswa kini WAJIB tahu fungsi dan peranan masing-masing. Jangan menjadi mahasiswa sekadar nama tetapi hayatilah erti kata mahasiswa yang sebenar.

Mahasiswa banyak dikaitkan dengan pemuda. Allah berfirman dalam Al-Furqan   انهم فتية امنوا بربهم وزدناهم هدى"” bermaksud “Mereka itulah pemuda yang beriman dengan tuhan mereka dan Allah menambahkan petunjuk bagi mereka” Zaman muda adalah zaman yang sangat bernilai dalam kehidupan kita. Pemuda juga dikaitkan dengan nilai kekuatan, sama ada kekuatan jasmani dan akal. Tubuh badan mereka kuat, begitu jua akal mereka. Oleh sebab itu, gunakanlah zaman mudamu dengan baik wahai mahasiswa sekalian. Biarlah perilaku dan perbuatan kita memberi sumbangan kepada islam. Jika tidak besar, sedikit pun tidak mengapa. Jangan jadi mahasiswa yang  tidak memberi apa-apa sumbangan untuk Islam bahkan menjadi FITNAH kepada islam itu sendiri. Kaedah fiqh ada mengatakan “لا يدرك كله ولا يترك كله” Jika tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua. Jadi sumbangkan jasa anda untuk Islam walaupun sekelumit cuma. Kepada yang berilmu, sebarkan ilmu anda, kepada yang bijak menyusun kata madah pujangga sebarkan madah anda biar semerbak kasturi, kepada yang lantang berkata-kata gunakan kelebihan yang Allah hadiahkan ini, kepada yang pandai karikatur gunakan karikatur untuk mendidik masyarakat mengenali islam. Lukiskan kartun-kartun islamik dan komik islamik yang bertujuan mendidik masyarakat. Kepada yang meminati bidang IT, gunakan medium IT sebagai wasilah untuk kita berdakwah. Gunakan medium perantara Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya untuk kita berkongsi ilmu dan nilai islam itu sendiri. Jangan anda jadikan medium IT ini sebagai halangan untuk anda dekat dengan Allah, bahkan gunakan ia untuk tujuan yang baik dan pastinya ganjaran Allah turut akan mengiringi bersama. Sedihnya pada hari ini apabila pemuda pemudi gagal memanfaatkan kemudahan IT yang tersedia dengan baik, mereka gunakan IT hanya untuk tujuan bersosial semata-mata sehinggakan ada dalam kalangan gadis yang kehilangan dara berpunca dari Facebook!! Amat memalukan!! Justeru itu, gunakan medium IT sebagai advantage untuk kita bukannya bebanan kita di akhirat nanti.

Sehubungan dengan itu , mahasiswa perlulah banyak memerah keringat dan idea demi memastikan survival mahasiswa terus terbela..Jangan kita menjadi lembu yang dicucuk hidung, tetapi jadilah mahasiswa yang ada jati diri dan maruah diri. Gunakan masa kita sebaik mungkin dan lakukan pengorbanan untuk membangunkan diri kita seterusnya dapat kita membangunkan ummah tercinta ini. Saranan saya, mahasiswa kena banyak berkorban dan pengorbanan itu tidak bermusim. Ada kalangan kita yang berkorban mengikut tempoh masa tertentu contohnya bila nak dekat exam. Ini suatu falsafah yang silap kerana pengorbanan itu dituntut dalam setiap masa dan ketika. Korbankan perkara yang sedap, untuk kita beroleh perkara yang sedap.

Kesimpulan.
Sempena kehadiran Idul Adha, kita telusuri bersama kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Siti Hajar dan Nabi Ismail AS. Namun perlu diingat, pengorbanan ini perlu dicontohi bukan sekadar diamati tetapi perlu dihayati. Menurut seorang ulama` haraki erti kata pengorbanan yang sebenar apabila kita korbankan harta, masa , jiwa , hidup kita untuk menegakkan agama ALLAH. Semoga Idul Adha kali ini memberi semangat baru kepada kita untuk kita melakukan pengorbanan yang lebih serius demi menggapai cita-cita dan redha ALLAH.  Tanyakan diri kita betapa sudah cukupkah jasa kita kepada Islam???

Read more...

Thursday 25 October 2012

Air Mata Lebaran

Suasana suram muram sedih rindu kasih nan syahdu kian berpusing ligat di ingatan.
Jika dahulu lebaran ini disambut bersama keluarga tercinta, namun kali ini lebaran `Idul Adha jelas berbeza. Tiada lagi ummi abah di sisi, tiada lagi adik-adik yang menemani, tiada lagi saudara dan sahabat tempat berkongsi. Dahulunya persiapan raya dilakukan bersama keluarga tercinta namun kini lokasi itu terletak lebih 8000km dari jasadku. Jika dahulu kami keluar solat Hari Raya bersama-sama namun saat itu kini menjadi kenangan yang abadi dalam memoriku. Biarpun berjauhan jasadku dan  mereka yang ku cintai, namun jiwa ini sentiasa terasa dekat.

Biar jarak memisahkan kita,
Biar jasad jauh tersiksa,
Biar jiwa terus rindu melena,
Biar sanubari terus derita,
Biarpun pahit bagai hempedu
Asalkan niat dan gagasan yang daku pikul terus terlaksana.
Biarlah derita dan siksa itu menjadi saksi kebahagiaan kita sekeluarga.

Ummi abah lap lah air mata mu dengan tanganmu kerana suatu masa nanti kejayaan ku akan mengelap duka diwajahmu. Biarkan air mata mu mengalir kerana kasihkan daku, biarkan air matamu mengalir kerana cintanya sepasang ibu bapa kepada anaknya, biarkan air mata mengalir kerana rindumu untuk bertemu kejayaan anakmu. Usah bicara soal perjuangan tanpa keringat yang perlu dititihkan. 

Ummi abah, inilah perjuangan kita!! Usah bersedih, sungguh Allah bersama kita, Allah pasti meredhai redhanya kamu sekeluarga. Daku percaya Allah telah hamparkan duri disepanjang laluan kita, tinggal saja orang yang kuat dapat sampai ke garisan penamat. Saat itu dirimu pasti menangis melihat daku di podium kejayaan. Akan ku bawakan kamu terbang bersamaku. Akan ku bela nasib dihari tuamu nanti. Ku hadiahkan kejayaan ku nanti untuk kamu, hanya untuk kamu. Apa yang ku perlukan adalah iringan doa restu ummi dan abah, sesungguhnya doa kalianlah yang terus mengiringi daku dalam perjuangan ini.

Kata semangat dan saranan kamu menjadi azimat bermakna buat hati ini. Terkadang daku jatuh tersungkur, rebah menyembah bumi, saat itu daku rasakan keseorangan, bagaikan tiada makhluk sudi berada di sisi, lalu ku buka kalam ALLAH, menitip setiap bait kalimah yang Maha Agung, lantas air mata ini tidak henti terjun. Ummi abah, tidak dapat ku bayangkan perasaan ketika kita berjauhan , jika dulu setiap hari ku mendengar kalam mu namun kini itu menjadi arkib berharga dalam memori.

Ummi abah, selalu sahaja ku sembunyikan kesedihan dihati ini, ku persembahkan kegirangan untuk menutup deritanya hati. Perasaan rindu kian membuak-buak memenuhi dada. Namun daku yakin dirimu pasti lebih sedih melihat daku begitu. Lalu daku dapatkan kekuatan , ku atur langkah mencoretkan kejayaan. Kerana ku yakin sungguh insan berjiwa besar itu tidak menjadikan batu kecil sebagai halangan buatnya. Sungguh insan berjiwa besar itu tidak melihat kepada perkara remeh temeh, tetapi memandang hakikat perjuangan yang ditempuh. Usah dilihat kepada peritnya usaha, tetapi pandanglah manisnya KEJAYAAN. Ku ingin menjadi yang terbaik!!

Ummi abah, saat daku mencoretkan nota ini air mata terus saja mengalir. Namun usah gusar kerana air mata ini menjadi “minyak” dan sumber kekuatanku di sini. Air mata ini menjadi saksi betapa ku rindukan kamu sekeluarga. Jangan sedih jangan runsing kerana air mata ini bukan pemusnah, tetapi sumber kekuatan api semarak perjuangan. Ku hamparkan doa kepada ALLAH semoga kita sekeluarga diberikan kekuatan untuk menghadapi hari-hari sulit, daku berdoa agar ALLAH berikan yang TERBAEK untuk kita semua. Percayalah ummi abah, Allah tidak akan hadiahkan kejayaan tanpa menguji kita semua. Semakin berat kita di uji semakin bahagia kita nanti.

Salam Lebaran dari abe n kakak buat ummi, abah, adik ya dan adik idi. Juga tidak dilupakan buat seluruh ahli keluargaku disana, Mokma , tok ayah, Mek, Mak Long n Ayah Long sekeluarga, angah ngah che ngah n keluarga, ayah c n che da sekeluarga, Mokna ayah Li n Atif Nukman, Ayah pih che ma n baby yang bakal lahir, Ayah Su n Ayah Mat semoga cepat mendirikan masjid. Tidak dilupakan juga kepada sepupu-sepupu ku disana.

Yang ikhlas mencintai kalian,

Abdullah Hussin

1105, Wisma Sultan Muhammad V
Hayyu Sabiek, Madinatu Nasr, Cairo, Egypt


Read more...

Saturday 21 July 2012

Ramadhan: Loncatan Keteguhan Keimanan

Lama kita tidak bersua, dek kala melaksanakan amanah dunia, walau demikian akhirat jangan dilupa, lalu kini hamba mencoretkan bicara, kata dan nota untuk mengingatkan kita, agar kita tidak terus alpa, semoga bermanfaat untuk semua.
Selamat Datang Ramadhan!!

Setahun sudah Ramadhan 1432H meninggalkan kita, kini bersua pula dengan kalendar baru 1433H. Alhamdulillah kita masih dipertemukan dengan bulan yang mulia ini.
Kuhadapkan syukur sembah kepada Ilahi,
kerana masih dinyawakan sehingga hari ini,
masih sempat ku bertemu kekasih tercinta,
Ramadhan datang dan terus menerpa,
samada kita sedar atau lupa,
Dia datang menurut kehendakNya,
Dia pergi tatkala memenuhi tuntutan fitrah alam fana.

Tuan puan sekalian,
Jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai batu loncatan untuk kita terus menghambakan diri kita kepada ALLAH, jangan pernah biarkan Ramadhan terus berlalu meninggalkan kita tanpa ada apa-apa kesan kepada kita. Anggap saja Ramadhan ini adalah yang terakhir buat diri kita, Puasa kita ini adalah yang terakhirnya, Solat kita adalah yang terakhir, zikir kita merupakan zikir yang terakhir dan kata-kata kita adalah yang terakhir sebelum kita menuju ke alam yang masih kita samar-samar akan bahagia atau deritanya disana. Maka berbahagialah mereka yang menggunakan saat kedatangan bulan tercinta ini dengan amal soleh, menyuruh yang maaruf dan mencegah yang mungkar. Akan tetapi, celakalah mereka yang membiarkan Ramadhan ini terus berlalu. Paginya sahur, siangnya puasa, senjanya berbuka, akan tetapi amalan yang lain tetap sama. Umpatan yang membabi buta hendakah dihindar, fitnah yang keji hendaklah dipelihara, buah mulut yang kosong hendaklah dijaga, mata yang melihat pasti nya dibendung dari melihat maksiat, telinga yang dianugerah jangan mempergunakan sesuka hati,tangan yang dikurnia biarlah memegang yang HALAL, kaki yang melangkah biarlah menerjah "اماكن طيَب"(tempat-tempat yang baik) dan fikiran janganlah melayang entah kemana. Sebaliknya gunakan segala anggota badan kita untuk mentaatiNya, penuhi setiap tuntutanNya, jalankan setiap amanahNya, jauhi segala laranganNya. 

Pakej Ramadhan

,المستمعون الكرام
Ramadhan ini didatangkan dengan pakej yang lengkap kepada kita. Tidaklah Ramadhan itu cukup dengan sahur, puasa dan berbuka sahaja. Akan tetapi ianya satu pakej yang sangat lumayan. Pagi beningnya diisi dengan Qiamullail, penuhi ruang udara dengan zikir dan bacaan Al-Quran, kemudian sahur dan Solat Subuh. Setelah itu, isilah masa dengan membaca Al-Quran atau belajar Ilmu baharu. Sesudah Zohor, gunakan masa sebaiknya masa ada ingin berehat atau beribadah sehingga Asar. Apabila Asar menjelma basahkan bibir kita dengan zikir tanda pengabdian kita kepada Sang Pencipta. Terawih sesudah Isyak jangan dibuat kerana rutin  atau adat, tetapi laksanakanlah demi mengejar keampunan Tuhan Sekalian ALAM. Justeru itu, Ramadhan hendaklah di"beli" secara pakej dan gunakanlah segala pakej itu kerana ALLAH telah menjanjikan pahala bagi sesiapa yang taat kepadaNya. Amalan sunat dicatatkan sepertimana amalan fardu dan amalan fardu di gandakan 70 kali ganda. Wah, tawaran hebat ini hanya datang sekali setahun sahaja!!

Ramadhan : Tanda Kasihnya ALLAH


Saudara-saudari,
Kata seorang pujangga,
Saatnya kini tiba,
Ramadhan yang didamba kini hadir
Bulan mulia amalan dilipat ganda,
Ayuh penuhinya dengan ketaatan!!

Sedar atau tidak sebenarnya Ramadhan yang datang adalah hadiah tanda kasihnya ALLAH kepada kita. Sungguh besar "hadiah" Allah kepada kita sehinggakan tidur pun dikurniakan pahala, apatah lagi zikir yang diratib demiNya atau pun solat yang didirikan hanya untukNya? Sungguh besar hadiah ini Ya Rabb.

Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."
Allah menjanjikan pengampunan kepada hambaNya yang memenuhi "RAMADHAN MALL" dengan penuh keimanan dan ketaatan. Sungguh hebat kasihMu Ilahi, jika manusia tidak menyedari, sungguh mereka adalah orang yang rugi.
Setahun berlalu dengan kemaksiatan,
ibadah dilakukan bagai melepaskan batuk ditangga, 
itupun hanya sekelumit cuma, 
kini Ramadhan datang dengan kasihNya, 
moga kita diampunkan dosa, 
seterusnya ALLAH menerima amalan kita.

Kemaksiatan dalam Ramadhan : Syaitan VS Nafsu


Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Hadis diatas jelas menunjukkan bahawa syaitan yang direjam dibelenggu tatkala datangnya Bulan Ramadhan. Namun seringkali kita tertanya, mengapa ada orang yang berbuat kemungkaran sedangkan syaitan telah diikat, apakah ada "waris" atau "pusaka" mereka tatkala mereka diikat? Persoalan ini dapat dijawab dengan penulis mengatakan bahawa sebenarnya kejahatan , kemungkaran tersebut didorong oleh nafsu yang bermaharajalela dalam diri seseorang, semakin kuat nafsu, semakin kuat ajakan untuk berbuat mungkar. Namun harus diingat bahwa kita telah terlepas dari satu "catalyzer" iaitu syaitan, maka gunakanlah kesempatan ini untuk merubah diri kita ke arah yang lebih baik.
        Tatkala datangnya Ramadhan, syaitan dibelenggu kaki dan tangan, ini adalah sinar harapan, bagi mereka yang berwawasan, untuk melakukan loncatan kearah yang lebih gemilang. Jelasnya, gunakan kesempatan yang ada untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Rabbul Izzati.

Kesimpulan

Saudara saudari sekalian,
Ramadhan yang datang gunakan sebaik mungkin, kerana masa depan belum tentu milik kita, rebutlah peluang untuk menikmati Ramadhan yang indah, biarpun nama nya panas terik. Daku yakin dalam setiap kesulitan pasti ada kesenangan yang tersembunyi, apa ertinya dingin salju jika tidak pernah menahan teriknya mentari, apa erti manisnya madu jika tidak pernah menelan hempedu, apakah nikmat kekenyangan jika kita tidak pernah menahan siksanya kelaparan. Jika hari ini seorang anak kelaparan, menderita siksa, maka Ramadhan ini adalah waktunya untuk kita merasai perit dan jerih mereka yang kian kelaparan sepanjang masa. Jadikanlah Ramadhan ini yang terbaik sepanjang hidup kita. Hidup hanya untuk ALLAH.
       * Saatnya kini tiba *





Read more...

Wednesday 22 February 2012

Sajak Khas Buat Guru-guruku

GuRuKu..
Engkau mengajar disebuah sekolah
Maahad Amir Indra Petra nama yang gah
Mendidik tanpa ganjaran upah
Tidak mengharap kemilau gelar dan anugerah
Sekadar kerelaanmu menggenggam sebuah amanah
Yang mengangkat harga diri dan maruah
Dengan berbekalkan keyakinan dan hikmah
Dengan keikhlasan hak dan pasrah
Dengan tidak mngenal penat lelah
Demi untuk masyarakat dan ummah


GuRuKu..
Engkau adalah pengganti ayah ibu
Dikau pembentuk generasi baru
Dikau pelatih insan baharu
yang masih lagi buta ilmu

GuRuKu..
Engkaulah pewaris tamadun ilmu
Dikau mendidik tanpa jemu
Bukan pangkat yang dikejar olehmu
Bahkan mengalirkan setiap titis ilmu
Berjuanglah dengan hati yang ikhlas bersamamu
agar kelak syurga dapat bertamu

GuRuKu..
Engkau bak mentari menerangi siang
Engkau bak bulan menerangi malam
Cahayamu menerangi jiwa kami
Menyalurkan nasihat dengan ilmi
Menagih kasih tanpa empati
Mencurah ilmu sehingga kini
terus kentar jiwamu melayan kerenah kami

sehingga menguji dek kesabaran imani
maafkanlah kami, ampunkanlah kami
duhai guru insan inspirasi

GuRuKu..
Sekuntum kasih semerbak kasturi
Buat dirimu daripada kami
Lalu mengharumkan hatimu yang suci
Setelah mndidik kami sepenuh hati
Mengajar kami erti onak duri
Sehingga kami menjadi insan bestari
Dikaulah pencetus revolusi 
Pemangkin semangat abadi....
TeRiMa KaSiH GuRuKu..




Read more...