Sunday 16 June 2013

Dilema Mahasiswa Kini

“Tidak sabar rasanya hendak menjejakkan kaki ke bumi anbiya`,” kata Faris kepada gurunya. “Pasakkan niat yang tinggi, sertakan bersama azam dan usaha untuk jadi orang alim,” Pesan Ustaz Marwan. “Carilah mutiara berharga disebalik pepasir seluas Sahara,” tambah Ustaz Maruan lagi.

Semangat untuk menuntut ilmu kian membuak-buak tatkala mendapat khabar dapat menjejakkan kaki ke Mesir. Al-Azhar, syeikh, ilmu, orang alim, padang pasir. Ini adalah bayangan pertama ketika di Malaysia bila menyebut Mesir. Apatah lagi didorong dengan hasrat dan harapan keluarga untuk melihat kita belajar ilmu warisan para ulama’.

Kata Hasan Al Basri RA “ Jika tidak kerana ulama’ maka manusia akan menjadi seperti haiwan.” Betapa peri pentingnya peranan ulama` dalam mendidik masyarakat. Maka atas gagasan inilah kita datang ke Mesir. Perjalanan sejauh 8000km dari Malaysia mengambil masa 12 jam di atas kapal terbang merentasi benua asia terus ke benua Afrika.

Kehadiran ke Mesir adalah untuk mendokong harapan orang kampung sekurang-kurangnya melepaskan fardu kifayah terhadap masyarakat di kampung. Kita semua adalah harapan mereka disana. Sebelum berangkat, ramai yang menghulurkan sokongan dari sudut honorarium. Namun bukan itu hasrat mereka sebenarnya. 

Terselit disebalik not RM 10 itu seribu satu harapan untuk melihat kita menjadi orang alim.
Masa kian berlalu pergi, bertahun kita di Mesir manakala bagi mahasiswa baru pula hampir 9 bulan berada disini. Satu persoalan untuk kita fikirkan bersama, adakah semangat dan keazaman untuk menuntut ilmu kian meningkat atau semakin menurun?

Pertama kali menjejakkan kaki di sini, semangat berkobar-kobar untuk menggali permata ilmu.

Hari pertama kita bangun di awal pagi, semangat berqiamullail di bumi anbiya`. Setiap hari diisi dengan pengisian jiwa dan rohani. Awalnya begitu teruja dengan kelas talaqqi, kelas tafaqquh, majlis ilmu di Masjid Azhar, mudhayafah, berpagian ke Darrasah untuk mengaji quran dengan Syeikh Ashraf Hasani Hafizohullah.

Namun setelah beberapa ketika keadaan ini berubah sebaliknya. Bukan setakat kelas kuliah, kelas markaz lughah pun terasa berat nak melangkah walaupun kehadiran dicatat. Ditambah pula dengan suasana dan cuaca di sini yang “memikat” untuk kita terus berada didalam dakapan saratoga. Malam pula dihias dengan movie sehingga rela bersengkang mata demi menghabiskan episod cerita.

Sehubungan dengan itu, kata Syeikh Ashraf Al Hasani, “Istiqamah itu lebih afhal daripada seribu keramat.” Maka pintalah doa kepada Allah agar memberi kekuatan kepada kita untuk menghadapi liku-liku perjalanan di bumi Nabi Musa ini.

Setiap hari adalah kejayaan buat kita. Terus bakar semangat kita untuk bersuhbah dengan orang alim. Hadir majlis ilmu mereka, pinta nasihat dan doa daripada ulama`. Semoga hidup kita diberkati Rabbul Izzati.

Konklusinya, peranan sahabat amat penting dalam memacu akhlak seseorang. Maka samalah kita menasihati sahabat tatkala dia terleka. Ayuh berpimpin tangan menuju matlamat yang kekal abadi, redha Allah.

Abdullah bin Hussin
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti Al Azhar, Kaherah.

*Artikel ini pernah diterbitkan dalam Fajar Jumaat terbitan Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir. Keluaran ke 400.

Read more...