Saturday 1 November 2014

Konsep Akal Menurut Islam

Akal diberikan kedudukan istimewa di dalam Islam. Allah telah meletakkan akal manusia di tahap tertinggi berbanding anggota yang lain. Dalam disiplin ilmu feqh, mereka yang hilang akal tidak dikira sebagai mukallaf, sekaligus mereka terlepas daripada segala tuntutan syara`. Orang hilang akal tidak wajib keatas mereka solat, puasa bahkan jika mereka mencuri, merogol dan membunuh sekalipun mereka tidak dikenakan hukuman hudud.

            Begitulah peri penting peranan akal dalam hidup seorang muslim. Apabila diteliti keistimewaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk yang lain adalah kerana manusia dikurniakan akal fikiran. Akal yang sempurna memandu manusia ke jalan yang benar sekaligus menjumpakan Tuhan mereka. Sebagaimana firman Allah :

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الأَلْبَابِ

“Katakanlah (kepadanya), “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” 
 ( Surah Az Zumar ayat 9 )


Kemusnahan Pemikiran Berlaku Disebabkan Penyalahgunaan Akal

Dewasa ini kerap mencatatkan pelbagai aliran pemikiran yang semakin mengambil tempat di hati muda mudi. Ini kerana aliran pemikiran tersebut dirasakan sesuai dan adil di mata mereka. Sedangkan yang sebenarnya, adil dan saksama itu diukur berdasarkan neraca Tuhan, bukannya akal hamba yang tidak seberapa.

            Ada antara mereka yang menganggap adil itu kesamarataan. Ini sangatlah jelek jika difikir dengan logik akal sekalipun. Yang dimaksudkan adil adalah meletakkan sesuatu pada haknya. Penyalahgunaan pemikiran ini menyebabkan muda mudi kita gemar berfikir sehingga terkadang menyalahi norma ketuhanan. Perlu diingat, terkadang akal itu disalah guna sehingga membawa kemusnahan kepada mereka sendiri. Allah ingatkan kita dalam Quran :

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari Jin dan Manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami ayat Allah, mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat bukti keesaan Allah, mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat ; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
            Justeru, kebobrokan pemikiran asing disebabkan gagalnya akal mereka mencari kebenaran dan keadilan sejagat iaitu kebenaran dan keadilan islam. Penyalahgunaan akal dalam menjadi neraca mengenal baik buruk mengharukan lagi suasana ini. Apa mungkin manusia dapat memikirkan semuanya tanpa ada bantuan daripada Yang Maha Kuasa?


Tanpa Wahyu Logik Akal Tiada Guna

Ya benar, akal tiada guna sekiranya logik tersebut kontra dengan wahyu Rabbaniah. Logik akal hanya diterima bilamana menepati kehendak sebenar wahyu Quran dan Sunnah. Suka saya memetik kata-kata Saidina Ali Karramallahu Wajhah, “Sekiranya agama ini hanya sekadar logik akal, maka manusia akan menyapu khuf di bahagian bawah.”


Read more...

Tuesday 22 April 2014

Solat Berjemaah : Masyarakat, Mahasiswa, Janji Rasulullah

Kali ini saya ingin mengupas mengenai kelebihan solat berjemaah daripada beberapa sudut. Antaranya sudut kemasyarakatan, kesihatan, budaya hidup mahasiswa, dan pastinya ganjaran yang dijanjikan Allah menerusi hadis Rasulullah saw.

Firman Allah : إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا   (Surah An Nisa ayat 103)

Lambang Kesatuan Umat

Solat berjemaah adalah aspek yang sangat dititik beratkan dalam islam. Ia adalah lambang sebuah keutuhan dan kekuatan ummat islam itu sendiri. Orang Kristian berbangga mereka berkumpul setiap minggu untuk menjalankan ritual ibadah mereka. Namun ketahuilah, kita lebih hebat kerana kita berkumpul lima kali sehari sedang mereka hanya sekali seminggu.

            Sebaik sahaja mendengar seruan azan, umat islam dari seceruk penjuru datang ke rumah Allah dengan satu tujuan yang sama iaitu menyembah Tuhan Sekalian Alam. Semuanya datang dengan matlamat sama bahkan melakukan perbuatan yang sama semuanya. Adanya rukun qauli dan fe`li semuanya dibuat melihatkan kebersamaan dan kekuatan umat islam. Tambahan pula adanya Imam yang mengetuai jemaah dan makmum yang mengikuti perbuatan imam. Inilah lambang sebuah kesatuan yang tidak ada tolak bandingnya.

Kelebihan solat berjemaah dari sudut kesihatan

Sebuah kajian yang dilakukan oleh seorang professor di Amerika Syarikat mendapati dalam tubuh manusia ada cas positif dan cas negatif. Cas positif membekalkan tenaga dan kekuatan kepada badan manakala cas begatif menyebabkan badan terasa lemah dan tidak bermaya. Apatah lagi jika badan aktif dan membuat pekerjaan berat, maka cas negatif akan banyak dalam tubuh badan kita.

            Sebagai contoh, setelah bangun tidur cas positif lebih banyak kerana tubuh kita telah mendapat rehat yang secukupnya. Manakala pada waktu tengah hari tubuh kita lemah kerana telah banyak melakukan pekerjaan sekaligus cas negatif banyak dalam badan kita.

            Hikmah solat berjemaah adalah dapat mengembalikan tenaga melalui pertukaran cas daripada negatif kepada positif. Bukankah semasa solat berjemaah kita merapatkan saff sehingga bahu bertemu bahu. Pertukaran cas negatif kepada positif berlaku semasa kita merapatkan saf bilamana bahu bertemu bahu dan sebagainya. Alangkah indahnya islam mengajarkan kita hikmah solat berjemaah.

           Selain itu di Malaysia Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim, Profesor Wan Abu Bakar dan Ng Siew Cheok merupakan perintis yang mengkaji kesan solat terhadap kesihatan manusia. Hal ini dikaji berdasarkan pergerakan otot, isyarat otak dan gelombang otak. Baca selanjutnya disini.

Peranan terhadap Mahasiswa

            Solat berjemaah sebenarnya melatih kita agar iltizam dengan waktu. Dengan solat berjemaah pada setiap waktu mengajarkan kita untuk mengurus waktu dengan baik. Kata seorang syeikh, “Solat berjemaah melatih kamu bagaimana cara mengurus waktu, maka mereka yang solat berjemaah kamu akan lihat urusannya seharian tersusun.”


Read more...

Sunday 6 April 2014

Ciri-Ciri Sahabat Yang Baik


Imam Ghazali memberikan tips kepada kita untuk memilih sahabat. Sahabat disini merujuk kepada orang yang paling dekat dengan kita. Adapun untuk berkawan, kita bebas untuk berkawan dengan siapa sahaja selagi mana kita mampu kawal diri daripada terjebak dengan perangai mereka. Dalam Kitab Ihya` Ulumuddin disebut tips untuk memilih sahabat iaitu bijak, berakhlak baik, bukanlah orang fasiq dan tidak terlalu mencintai dunia.

            Sahabat yang bijak membolehkan kita menumpang kepintaran dan kebijaksaannya. Sahabat yang berakhlak pula membimbing kita untuk turut sama berakhlak baik seperti mereka. Kemudian, bagi orang fasiq pula tiada manfaat bersahabat dengan mereka kerana orang yang takutkan Allah tidak akan melakukan dosa besar.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al Kahfi ayat 28 yang bermaksud, “Janganlah kamu mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al Quran, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula melampaui batas kebenaran.”

            Seorang lelaki pernah berpesan kepada Saidina Ali, “Sesungguhnya sahabat kamu yang sejati adalah orang yang sentiasa bersama kamu ketika senang mahupun susah. Dan dia sanggup mengorbankan dirinya demi kebahagiaan kamu.”

Sahabat Yang Baik Menurut Hadis


Read more...

Monday 24 March 2014

Palingkan Diri Daripada Maksiat

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 “Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.” Orang yang berbuat maksiat adalah seumpama mereka yang sengaja mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Walaupun mereka tahu bahawa Allah membenci orang yang berbuat maksiat, namun kedegilan dan kecanduan terhadap maksiat itu sangat menebal sehingga mereka tidak mampu menahan diri.
 Ini adalah seumpama memakan buah yang beracun. Walaupun nampak sedap pada awalnya, namun racun itu akhirnya membunuh dirinya. Godaan kepada maksiat sangat kuat. Nafsu dalam diri, syaitan yang menghasut pasti menjadi catalyst (pemangkin) kepada maksiat.


Syahwat

Sesungguhnya syahwat itu dapat mengubah raja menjadi hamba dan kesabaran dapat mengubah hamba menjadi raja, bukankah anda melihat kisah Nabi Allah Yusuf dan Zulaikha?

Nabi Yusuf asalnya bekerja dengan Raja Aziz. Isteri Raja bernama Zulaikha telah terpikat dengan ketampanan Nabi Yusuf dan jatuh hati kepada baginda. Dan Zulaikha berusaha untuk menggoda Nabi Yusuf dengan bermacam helah. Namun Nabi Yusuf berjaya mengelak daripada godaan-godaan tersebut. Setelah berjaya menepis pujukan Zulaikha, beberapa tahun setelah itu Allah mengangkat Nabi Yusuf sebagai Menteri di Mesir. Itu bukti jelas dimana bersabar dengan syahwat itu pasti ada hikmah yang cukup besar.


Read more...

Friday 28 February 2014

Allah Kekasih Setia Kita

Allah Sentiasa Ada Untuk Kita.

Tatkala kita bersedih berduka, kita merasakan seolah satu dunia membenci kita. Terkadang kita lakukan kesalahan kecil sahaja, tetapi manusia seluruhnya mencemuh kita seolah kita sudah melakukan dosa besar. Percayalah, tiada kekasih yang lebih setia melainkan Allah yang mendengar setiap luahan hambaNya.

Hamparkan setiap relung kedukaan di hadapan Allah, alirkan air mata, adukan segala masalah kepada Allah kerana Dia adalah pendengar yang setia. Kalau kita berkongsi masalah dengan manusia, boleh jadi lama-kelamaan beliau akan pandang serong kepada kita. Namun bilamana kita luahkan kepada Allah, maka itu menambahkan kasih Allah kepada kita.


Ada kisah seorang pemuda zaman tabien yang sentiasa melakukan maksiat. Tiba suatu hari beliau ingin bertaubat. Maka  beliau bertaubat siang dan malam daripada dosanya. Setiap malam beliau bangun daripada tidur lantas mengerjakan solat malam dan taubat memohon ampun daripada Allah. Perkara ini berterusan selama 50 tahun lantas beliau tertanya-tanya apakah taubatnya itu diterima Allah? Lalu beliau berdoa agar Allah menghantar isyarat apakah taubatnya diterima.

Kemudian beliau tidur dan bermimpi bahwa Allah suka melihat hambaNya bertaubat. Oleh kerana itulah  Allah campakkan perasaan berdosa padanya, maka dia akan terus sentiasa bertaubat meskipun Allah sudah pun menerima taubatnya.

            Oleh itu, jangan lah kita merasakan diri keseorangan, sedangkan Allah sentiasa ada untuk kita. Allah sentiasa dekat kepada kita bahkan Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita berubah menjadi hambaNya. Bertaubatlah daripada segala dosa dan noda yang menghanyutkan kita.

Jom dekat dengan Allah.


Read more...

Wednesday 26 February 2014

Sajak : Cinta Buatmu Kekasih Merindu

Rasulullah,
Tatkala jari jemari menari ligat,
fikiran sedang rindu teringat,
akal mentafsir cintamu kepada ummat.

Aduhai bejana cinta yang memikat,
Ku benarkan dengan sabar dan taat,
Sebuah kasih  ku pegang rapat,
Segunung cinta ku dakap erat.

Duhai Rasul,
Ada pihak merosakkan cinta,
Sebuah apresiasi buatmu katanya sesat belaka,
Katanya bid`ah dan masuk neraka,
Lalu dijawab, apakah syurga neraka di tangan mereka?
Ataupun milik Sang Pencipta ?
Apakah daku salah memiliki cinta?
Atau sebenarnya hati mereka yang binasa.

Duhai Cinta,
Indah sungguh sang pawana,
Hela menghembus segenap warna,
Indah lagi akhlak mu Baginda,
Menyirami dunia dengan cahaya.

Cinta platonik yang bergema,
Ibarat mentari menerangi semua,
Nabi Muhammad Kekasih Kita
Seluruh dunia turut bergembira,
Dengan kehadiranmu Sang pencinta.

Begitupun malu menyatakan cinta,
tatkala diri teringat dosa,
namun akan ku gagahi jua,
kerana yakin janjimu seadanya,
orang yang mencintai akan bersama,
biarpun tidak didunia,
tetapi pasti di akhirat sana.

Sedang jiwa terus rindu melena,
menahan kerinduan gerimis senja,
menanti saat tibanya masa,
bilakah kita akan bersua.
Mimpi berjumpa Rasulullah adalah nikmat terbesar

Rasulullah,
Begitu ku mencintaimu,
ku rela korbankan ayah ibu,
sanggupku bayar harta beribu,
ku relakan seluruh hidupku,
Demi mu kekasih merindu.

Biarpun wajah indah mu tak pernah ku temu,
biarpun akhlakmu tak pernah ku tamu,
tetapi cukuplah hadithmu buatku,
lantas membuat jiwa ini mencintaimu.

Rasulullah,
Sedang daku lafazkan bicara rindu,
mulut membisu lidah terkelu,
tangan dan kaki semuanya kaku,
sejenak kerana dosa menggunung malu,
banyaknya maksiat ibarat pepasir salju,
tak terkira nian beribu,
jika dilihat berjuta batu,
jika dihitung tidak termampu.

Namun begitu duhai kekasih hati,
ku panjatkan doa kepada Rabbul Izzati,
agar dihapuskan dosa sekalian ini,
ku pohon syafaat buat diri.

Sebuah cinta yang indah,
Mampu menenangkan hati gundah,
Melenakan semua gelisah,
Menghancurkan setiap resah,
Akhirnya antara kita tiada pemisah.

Duhai angin hembuslah dingin mendamai,
bawalah bersama cinta kepada Rasulullah,
Duhai air teruskan mengalir menyirami,
tumpangkah kasihku kepada Habibullah,
Duhai mentari teruskan memancar sinar
dan sampaikan rinduku cintaku kepada Khalilullah...


#

Setajam pena

Read more...

Friday 17 January 2014

Warkah Ilmu Buat Mahasiswa

Fitrah datang ke Mesir, masing-masing pasakkan dalam diri untuk menjadi ulama`. Naluri sebagai sebagai seorang penuntut ilmu itu mempunyai sifat cinta dan kasih akan ilmu itu sendiri.

Sebelum kita meneroka lebih jauh, beberapa persoalan ingin dilontarkan untuk santapan kita bersama. Kenapa pilih jurusan agama@medik? Kenapa datang ke Mesir? Jawapan kepada dua soalan inilah yang akan menjadi asas kepada kita untuk terus menongkah bahtera di bumi serba mencabar ini.

Setelah menjawab kedua soalan diatas, kita semua bersepakat bahawasanya semuanya memerlukan ilmu sebagai petrol yang akan menjana kenderaan kita. Ya, sebab itu kita datang ke Mesir kerana kita dahagakan lautan ilmu tersebut.


Ilmu sebagai prakarsa mendekatkan diri kepada ALLAH.
Allah SWT berfirman dalam Quran yang bermaksud, Allah mengangkat darjat orang berilmu dan beriman dalam dalam kalangan kamu dengan beberapa darjat.

Sudah terang lagi bersuluh orang berilmu mempunyai kedudukan yang istimewa disisi Allah SWT. Kepada siapa Allah bagi kelebihan-kelebihan kalau bukan orang berilmu? Mereka diganjari pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang tidak dicapai manusia biasa. Bahkan darjat mereka lebih tinggi daripada `abid (ahli ibadah). Sabda Rasulullah SAW :


عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "فقيه واحد أشد على الشيطان من ألف عابد"           
                          رواه الترمذي وابن ماجه

Yang bermaksud, “Seseorang yang alim itu lebih ditakuti syaitan daripada seribu orang abid.”                      Hadis dikeluarkan oleh Tarmizi dan Ibn Majah

Bergembiralah wahai penuntut ilmu sekalian. Betapa tingginya darjat kamu di sisi ALLAH.


Menuntut ilmu itu jihad.


عن أنس رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "من خرج في طلب العلم فهو في سبيل الله حتى يرجع"    
أخرجه الترميذي          

Daripada Anas RA berkata, sabda Rasulullah SAW : “Barangsiapa keluar menuntut ilmu maka dia sebenarnya berjihad di jalan Allah sehingga dia kembali.” Hadis dikeluarkan oleh Imam Tarmizi RA

Bergembiralah wahai penuntut ilmu sekalian, setiap langkah kita ke kuliah, kelas talaqqi semuanya dikira sebagai jihad dijalan Allah. Berbekalkan hati yang ikhlas belajar keranaNya nescaya Allah akan mencatatkan pahala yang tidak terkira banyaknya!


Menuntut ilmu adalah jambatan ke syurga

 قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهَل الله له به طريقا إلى الجنة.             
                       رواه الترمذي وابن ماجه

Sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa yang menjalani suatu jalan yang mencari ia didalamnya akan ilmu, maka Allah SWT memudahkan baginya jalan menuju ke syurga.

Maka kuatkan azam dan tekad untuk kita menjadi seseorang yang berilmu. Benar kata Imam Syafie RA, Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan menyuluh pembuat maksiat. Hindarkan diri anda daripada melazimi maksiat, segera bertaubat jika berbuat, InsyaAllah kita akan jadi mukmin yang kuat.

Wallahu a`lam.

Abdullah Hussin,
Kuliah Bahasa Arab Universiti Al Azhar.

Read more...