Saturday 1 November 2014

Konsep Akal Menurut Islam

Akal diberikan kedudukan istimewa di dalam Islam. Allah telah meletakkan akal manusia di tahap tertinggi berbanding anggota yang lain. Dalam disiplin ilmu feqh, mereka yang hilang akal tidak dikira sebagai mukallaf, sekaligus mereka terlepas daripada segala tuntutan syara`. Orang hilang akal tidak wajib keatas mereka solat, puasa bahkan jika mereka mencuri, merogol dan membunuh sekalipun mereka tidak dikenakan hukuman hudud.

            Begitulah peri penting peranan akal dalam hidup seorang muslim. Apabila diteliti keistimewaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk yang lain adalah kerana manusia dikurniakan akal fikiran. Akal yang sempurna memandu manusia ke jalan yang benar sekaligus menjumpakan Tuhan mereka. Sebagaimana firman Allah :

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الأَلْبَابِ

“Katakanlah (kepadanya), “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” 
 ( Surah Az Zumar ayat 9 )


Kemusnahan Pemikiran Berlaku Disebabkan Penyalahgunaan Akal

Dewasa ini kerap mencatatkan pelbagai aliran pemikiran yang semakin mengambil tempat di hati muda mudi. Ini kerana aliran pemikiran tersebut dirasakan sesuai dan adil di mata mereka. Sedangkan yang sebenarnya, adil dan saksama itu diukur berdasarkan neraca Tuhan, bukannya akal hamba yang tidak seberapa.

            Ada antara mereka yang menganggap adil itu kesamarataan. Ini sangatlah jelek jika difikir dengan logik akal sekalipun. Yang dimaksudkan adil adalah meletakkan sesuatu pada haknya. Penyalahgunaan pemikiran ini menyebabkan muda mudi kita gemar berfikir sehingga terkadang menyalahi norma ketuhanan. Perlu diingat, terkadang akal itu disalah guna sehingga membawa kemusnahan kepada mereka sendiri. Allah ingatkan kita dalam Quran :

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari Jin dan Manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami ayat Allah, mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat bukti keesaan Allah, mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat ; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
            Justeru, kebobrokan pemikiran asing disebabkan gagalnya akal mereka mencari kebenaran dan keadilan sejagat iaitu kebenaran dan keadilan islam. Penyalahgunaan akal dalam menjadi neraca mengenal baik buruk mengharukan lagi suasana ini. Apa mungkin manusia dapat memikirkan semuanya tanpa ada bantuan daripada Yang Maha Kuasa?


Tanpa Wahyu Logik Akal Tiada Guna

Ya benar, akal tiada guna sekiranya logik tersebut kontra dengan wahyu Rabbaniah. Logik akal hanya diterima bilamana menepati kehendak sebenar wahyu Quran dan Sunnah. Suka saya memetik kata-kata Saidina Ali Karramallahu Wajhah, “Sekiranya agama ini hanya sekadar logik akal, maka manusia akan menyapu khuf di bahagian bawah.”


Read more...