Showing posts with label Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Ilmu. Show all posts

Friday, 28 February 2014

Allah Kekasih Setia Kita

Allah Sentiasa Ada Untuk Kita.

Tatkala kita bersedih berduka, kita merasakan seolah satu dunia membenci kita. Terkadang kita lakukan kesalahan kecil sahaja, tetapi manusia seluruhnya mencemuh kita seolah kita sudah melakukan dosa besar. Percayalah, tiada kekasih yang lebih setia melainkan Allah yang mendengar setiap luahan hambaNya.

Hamparkan setiap relung kedukaan di hadapan Allah, alirkan air mata, adukan segala masalah kepada Allah kerana Dia adalah pendengar yang setia. Kalau kita berkongsi masalah dengan manusia, boleh jadi lama-kelamaan beliau akan pandang serong kepada kita. Namun bilamana kita luahkan kepada Allah, maka itu menambahkan kasih Allah kepada kita.


Ada kisah seorang pemuda zaman tabien yang sentiasa melakukan maksiat. Tiba suatu hari beliau ingin bertaubat. Maka  beliau bertaubat siang dan malam daripada dosanya. Setiap malam beliau bangun daripada tidur lantas mengerjakan solat malam dan taubat memohon ampun daripada Allah. Perkara ini berterusan selama 50 tahun lantas beliau tertanya-tanya apakah taubatnya itu diterima Allah? Lalu beliau berdoa agar Allah menghantar isyarat apakah taubatnya diterima.

Kemudian beliau tidur dan bermimpi bahwa Allah suka melihat hambaNya bertaubat. Oleh kerana itulah  Allah campakkan perasaan berdosa padanya, maka dia akan terus sentiasa bertaubat meskipun Allah sudah pun menerima taubatnya.

            Oleh itu, jangan lah kita merasakan diri keseorangan, sedangkan Allah sentiasa ada untuk kita. Allah sentiasa dekat kepada kita bahkan Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita berubah menjadi hambaNya. Bertaubatlah daripada segala dosa dan noda yang menghanyutkan kita.

Jom dekat dengan Allah.


Read more...

Wednesday, 26 February 2014

Sajak : Cinta Buatmu Kekasih Merindu

Rasulullah,
Tatkala jari jemari menari ligat,
fikiran sedang rindu teringat,
akal mentafsir cintamu kepada ummat.

Aduhai bejana cinta yang memikat,
Ku benarkan dengan sabar dan taat,
Sebuah kasih  ku pegang rapat,
Segunung cinta ku dakap erat.

Duhai Rasul,
Ada pihak merosakkan cinta,
Sebuah apresiasi buatmu katanya sesat belaka,
Katanya bid`ah dan masuk neraka,
Lalu dijawab, apakah syurga neraka di tangan mereka?
Ataupun milik Sang Pencipta ?
Apakah daku salah memiliki cinta?
Atau sebenarnya hati mereka yang binasa.

Duhai Cinta,
Indah sungguh sang pawana,
Hela menghembus segenap warna,
Indah lagi akhlak mu Baginda,
Menyirami dunia dengan cahaya.

Cinta platonik yang bergema,
Ibarat mentari menerangi semua,
Nabi Muhammad Kekasih Kita
Seluruh dunia turut bergembira,
Dengan kehadiranmu Sang pencinta.

Begitupun malu menyatakan cinta,
tatkala diri teringat dosa,
namun akan ku gagahi jua,
kerana yakin janjimu seadanya,
orang yang mencintai akan bersama,
biarpun tidak didunia,
tetapi pasti di akhirat sana.

Sedang jiwa terus rindu melena,
menahan kerinduan gerimis senja,
menanti saat tibanya masa,
bilakah kita akan bersua.
Mimpi berjumpa Rasulullah adalah nikmat terbesar

Rasulullah,
Begitu ku mencintaimu,
ku rela korbankan ayah ibu,
sanggupku bayar harta beribu,
ku relakan seluruh hidupku,
Demi mu kekasih merindu.

Biarpun wajah indah mu tak pernah ku temu,
biarpun akhlakmu tak pernah ku tamu,
tetapi cukuplah hadithmu buatku,
lantas membuat jiwa ini mencintaimu.

Rasulullah,
Sedang daku lafazkan bicara rindu,
mulut membisu lidah terkelu,
tangan dan kaki semuanya kaku,
sejenak kerana dosa menggunung malu,
banyaknya maksiat ibarat pepasir salju,
tak terkira nian beribu,
jika dilihat berjuta batu,
jika dihitung tidak termampu.

Namun begitu duhai kekasih hati,
ku panjatkan doa kepada Rabbul Izzati,
agar dihapuskan dosa sekalian ini,
ku pohon syafaat buat diri.

Sebuah cinta yang indah,
Mampu menenangkan hati gundah,
Melenakan semua gelisah,
Menghancurkan setiap resah,
Akhirnya antara kita tiada pemisah.

Duhai angin hembuslah dingin mendamai,
bawalah bersama cinta kepada Rasulullah,
Duhai air teruskan mengalir menyirami,
tumpangkah kasihku kepada Habibullah,
Duhai mentari teruskan memancar sinar
dan sampaikan rinduku cintaku kepada Khalilullah...


#

Setajam pena

Read more...

Friday, 17 January 2014

Warkah Ilmu Buat Mahasiswa

Fitrah datang ke Mesir, masing-masing pasakkan dalam diri untuk menjadi ulama`. Naluri sebagai sebagai seorang penuntut ilmu itu mempunyai sifat cinta dan kasih akan ilmu itu sendiri.

Sebelum kita meneroka lebih jauh, beberapa persoalan ingin dilontarkan untuk santapan kita bersama. Kenapa pilih jurusan agama@medik? Kenapa datang ke Mesir? Jawapan kepada dua soalan inilah yang akan menjadi asas kepada kita untuk terus menongkah bahtera di bumi serba mencabar ini.

Setelah menjawab kedua soalan diatas, kita semua bersepakat bahawasanya semuanya memerlukan ilmu sebagai petrol yang akan menjana kenderaan kita. Ya, sebab itu kita datang ke Mesir kerana kita dahagakan lautan ilmu tersebut.


Ilmu sebagai prakarsa mendekatkan diri kepada ALLAH.
Allah SWT berfirman dalam Quran yang bermaksud, Allah mengangkat darjat orang berilmu dan beriman dalam dalam kalangan kamu dengan beberapa darjat.

Sudah terang lagi bersuluh orang berilmu mempunyai kedudukan yang istimewa disisi Allah SWT. Kepada siapa Allah bagi kelebihan-kelebihan kalau bukan orang berilmu? Mereka diganjari pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang tidak dicapai manusia biasa. Bahkan darjat mereka lebih tinggi daripada `abid (ahli ibadah). Sabda Rasulullah SAW :


عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "فقيه واحد أشد على الشيطان من ألف عابد"           
                          رواه الترمذي وابن ماجه

Yang bermaksud, “Seseorang yang alim itu lebih ditakuti syaitan daripada seribu orang abid.”                      Hadis dikeluarkan oleh Tarmizi dan Ibn Majah

Bergembiralah wahai penuntut ilmu sekalian. Betapa tingginya darjat kamu di sisi ALLAH.


Menuntut ilmu itu jihad.


عن أنس رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "من خرج في طلب العلم فهو في سبيل الله حتى يرجع"    
أخرجه الترميذي          

Daripada Anas RA berkata, sabda Rasulullah SAW : “Barangsiapa keluar menuntut ilmu maka dia sebenarnya berjihad di jalan Allah sehingga dia kembali.” Hadis dikeluarkan oleh Imam Tarmizi RA

Bergembiralah wahai penuntut ilmu sekalian, setiap langkah kita ke kuliah, kelas talaqqi semuanya dikira sebagai jihad dijalan Allah. Berbekalkan hati yang ikhlas belajar keranaNya nescaya Allah akan mencatatkan pahala yang tidak terkira banyaknya!


Menuntut ilmu adalah jambatan ke syurga

 قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهَل الله له به طريقا إلى الجنة.             
                       رواه الترمذي وابن ماجه

Sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa yang menjalani suatu jalan yang mencari ia didalamnya akan ilmu, maka Allah SWT memudahkan baginya jalan menuju ke syurga.

Maka kuatkan azam dan tekad untuk kita menjadi seseorang yang berilmu. Benar kata Imam Syafie RA, Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan menyuluh pembuat maksiat. Hindarkan diri anda daripada melazimi maksiat, segera bertaubat jika berbuat, InsyaAllah kita akan jadi mukmin yang kuat.

Wallahu a`lam.

Abdullah Hussin,
Kuliah Bahasa Arab Universiti Al Azhar.

Read more...