“Tidak sabar rasanya hendak menjejakkan
kaki ke bumi anbiya`,” kata Faris kepada gurunya. “Pasakkan niat yang tinggi,
sertakan bersama azam dan usaha untuk jadi orang alim,” Pesan Ustaz Marwan.
“Carilah mutiara berharga disebalik pepasir seluas Sahara,” tambah Ustaz Maruan
lagi.
Semangat untuk menuntut ilmu kian
membuak-buak tatkala mendapat khabar dapat menjejakkan kaki ke Mesir. Al-Azhar,
syeikh, ilmu, orang alim, padang pasir. Ini adalah bayangan pertama ketika di
Malaysia bila menyebut Mesir. Apatah lagi didorong dengan hasrat dan harapan
keluarga untuk melihat kita belajar ilmu warisan para ulama’.
Kata Hasan Al Basri RA “ Jika tidak kerana
ulama’ maka manusia akan menjadi seperti haiwan.” Betapa peri pentingnya
peranan ulama` dalam mendidik masyarakat. Maka atas gagasan inilah kita datang
ke Mesir. Perjalanan sejauh 8000km dari Malaysia mengambil masa 12 jam di atas
kapal terbang merentasi benua asia terus ke benua Afrika.
Kehadiran ke Mesir adalah untuk
mendokong harapan orang kampung sekurang-kurangnya melepaskan fardu kifayah
terhadap masyarakat di kampung. Kita semua adalah harapan mereka disana.
Sebelum berangkat, ramai yang menghulurkan sokongan dari sudut honorarium.
Namun bukan itu hasrat mereka sebenarnya.
Terselit disebalik not RM 10 itu
seribu satu harapan untuk melihat kita menjadi orang alim.
Masa kian berlalu pergi, bertahun kita di
Mesir manakala bagi mahasiswa baru pula hampir 9 bulan berada disini. Satu
persoalan untuk kita fikirkan bersama, adakah semangat dan
keazaman untuk menuntut ilmu kian meningkat atau semakin menurun?
Pertama kali menjejakkan kaki di sini,
semangat berkobar-kobar untuk menggali permata ilmu.
Hari pertama kita bangun
di awal pagi, semangat berqiamullail di bumi anbiya`. Setiap hari diisi dengan
pengisian jiwa dan rohani. Awalnya begitu teruja dengan kelas talaqqi, kelas
tafaqquh, majlis ilmu di Masjid Azhar, mudhayafah, berpagian ke Darrasah untuk
mengaji quran dengan Syeikh Ashraf Hasani Hafizohullah.
Namun setelah beberapa ketika keadaan ini
berubah sebaliknya. Bukan setakat kelas kuliah, kelas markaz lughah pun terasa
berat nak melangkah walaupun kehadiran dicatat. Ditambah pula dengan suasana
dan cuaca di sini yang “memikat” untuk kita terus berada didalam dakapan
saratoga. Malam pula dihias dengan movie sehingga rela bersengkang mata demi
menghabiskan episod cerita.
Sehubungan dengan itu, kata Syeikh Ashraf
Al Hasani, “Istiqamah itu lebih afhal daripada seribu keramat.” Maka pintalah
doa kepada Allah agar memberi kekuatan kepada kita untuk menghadapi liku-liku
perjalanan di bumi Nabi Musa ini.
Setiap hari adalah kejayaan buat kita.
Terus bakar semangat kita untuk bersuhbah dengan orang alim. Hadir majlis ilmu
mereka, pinta nasihat dan doa daripada ulama`. Semoga hidup kita diberkati
Rabbul Izzati.
Konklusinya, peranan sahabat amat penting
dalam memacu akhlak seseorang. Maka samalah kita menasihati sahabat tatkala dia
terleka. Ayuh berpimpin tangan menuju matlamat yang kekal abadi, redha Allah.
Abdullah bin
Hussin
Kuliah Bahasa
Arab,
Universiti Al
Azhar, Kaherah.
*Artikel ini
pernah diterbitkan dalam Fajar Jumaat terbitan Keluarga Pelajar-Pelajar
Kelantan Mesir. Keluaran ke 400.
No comments:
Post a Comment