Justeru merenung perkataan Hijrah, kita akan
membayangkan episod penting dalam sejarah Islam yang menyaksikan penghijrahan
Rasulullah dan para sahabat baginda daripada Kota Mekah ke Kota Madinah. Namun
begitu sewajarnya kita melihat dari introspektif yang lebih dalam dan “hikmah” .
Perjalanan sepanjang 320 kilometer selama lapan hari ini menjadi nota penting
dalam sejarah peradaban dunia.
Hijrah merupakan peristiwa agung yang menjadi titik
peralihan dalam pengembangan dakwah
Islam sekali gus menjadi batu asas pembinaan sebuah negara Islam pertama di
Toyyibah ( nama asal sebelum ditukar ke Yathrib dan kini dikenali sebagai
Madinah ). Apa yang lebih penting, sirah agung ini mengajarkan kepada kita dua
aspek yang utama dalam kehidupan iaitu
strategi dakwah dan konsep tawakkal .
Teringat
kata-kata seorang tokoh falsafah, “Ini adalah bukan apa yang kita lihat, tetapi
BAGAIMANA KITA MELIHAT”. Kita perlu melihat bahawa hijrah bukan hanya
peristiwa, tetapi lebih daripada itu iaitu sebuah didikan/ajaran/teladan ALLAH
dan RASULULLAH yang perlu kita telesuri bersama. Melihat kepada sirah agung
ini, bagaimana Rasulullah menyusun strategi dalam penghijrahan baginda dan kaum
muslimin yang lain.
Kenapakah Rasulullah memerintahkan kaum Muslimin untuk
berhijrah terlebih dahulu sedangkan baginda tahu yang pada ketika itu sedang
giat perancangan musyrikin untuk membunuh baginda? Kenapa Rasulullah
membenarkan Umar Al-Khattab R.A mengumumkan penghijrahannya kepada kaum Quraisy?
Kenapa Rasulullah memilih untuk berhijrah bersama Abu Bakar bukan orang lain?
Kenapa Rasulullah memilih Ali bin Abi Talib untuk menggantikan tempat tidur
baginda ? Kenapa Rasulullah keluar melalui tingkap bukan melalui pintu
sebagaimana biasa? Kenapa Rasulullah menggunakan khidmat pakar geografi dari
kalangan musyrikin iaitu Abdullah bin Uraiqith untuk menjadi petunjuk jalan
Baginda? Tidak bimbangkah Rasulullah bahawa Ibn Uraiqith akan mengkhianati
Baginda? Adakah tiada pakar geografi dari kalangan muslim pada waktu itu? Kenapa
Rasulullah menggunakan jalan jauh dan bukan jalan biasa? Kenapa Rasulullah
berhenti di Gua Thur yang mana muka gua tersebut menghadap Madinah? Bagaimana
kaedah motivasi Rasulullah dalam menangani ketakutan Abu Bakar semasa mereka
dalam gua? Kenapa Rasulullah memerintahkan Asma` Binti Abi Bakar untuk
menghantar makanan sedangkan Abdullah Ibnu Umar juga diperintahkan untuk
membawa khabar berita. Mengapa khabar berita tersebut tidak disampaikan terus
kepada Asmaa lantas memudahkan kerja iaitu hantar makanan sekali gus membawa
khabar. Apakah ada perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam menyampaikan
berita? Untuk apa kambing dibawa bersama Asmaa? Adakah sekadar untuk mengambil
susu? Ataupun ada hikmah tersembunyi di sebalik kambing? Mengapa tanggal 8 Rabiul Awal dipilih untuk memulakan
hijrah?
Semua persolan di atas telah dijawab oleh ulama` dalam
maqalah-maqalah ilmu mereka, tinggal saja kita sama ada mencari dan mengkaji
atau kita terus terlena. Babak penghijrahan baginda ini menyaksikan kepada
dunia Islam bahawa perlunya satu strategi yang ampuh untuk kita melaksanakan
tugasan dakwah. Jika tidak, bukankah mudah bagi Rasulullah hanya berdoa agar
ALLAH menjaga keselamatan Baginda bahkan ALLAH sudah pun menjanjikan keselamatan
bagi baginda. Bukankah boleh Rasulullah berdoa agar ditidurkan sahaja semua
musyrikin sebagaimana peristiwa Rasulullah keluar dari rumahnya pada malam
tersebut seterusnya mudah bagi Rasulullah untuk keluar berhijrah? Kenapa
pelbagai strategi dirangka dan direncana? Hal ini jelas menunjukkan bahawa
Islam mengajar kita akan strategi dalam melaksanakan sesuatu. Kata Sayidina Ali
R.A
"الحق بلا النظام يغلب الباطل
بالنظام". Maksudnya,
kebenaran tanpa perancangan akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang terancang.
Sehubungan dengan itu, wajib ke atas kita untuk
membuat perancangan dalam setiap perkara apatah lagi ia melibatkan masa depan
kita iaitu pembelajaran dan pengajian kita. Amat sedih dewasa ini ketika mana
mahasiswa masih lagi tidak jelas akan matlamat pengajiannya sehingga ada yang
tidak tahu memilih jurusan apa yang bakal mereka pilih. Sebagai mahasiswa
Islam, ceduklah iktibar daripada peristiwa Hijrah ini, jadikan perancangan
sebagai titik permulaan langkah kita. Bercakap soal perancangan, Dr Stephen R.
Covey menukilkan dalam bukunya 7 Habits Of Most Influence People, Begin with
the end in your Mind, sarjana barat mengatakan “If you fail to plan, you plan
to fail”.
Justeru itu, perancangan ini bukan hanya disarankan
oleh dunia barat, bahkan Islam terlebih dahulu mengajarkan kita agar
berperancangan. Maka rancanglah laluan dan perjalanan akademik kita dengan
bertunjangkan Islam dan dakwah. Biarlah segala perancangan kita tadi menjurus
ke arah meninggikan kalimah ALLAH. Kerana apalah gunanya kejayaan akademik ,
bijak pidato dan penulisan sekiranya perkara itu hanya menjauhkan kita dengan
Islam. Kerana apalah gunanya kejayaan yang membuatkan kita lupa pada ALLAH.
Bibliografi:
Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh
: Abdul Rahman Shaari
Hijrah : Permulaan sebuah
Kegemilangan : Abdul Latib Talib
Negotiating Secret : David
Brown
No comments:
Post a Comment