Friday, 26 October 2012

Eidul Adha Bukan Sekadar Pengorbanan

Lama sungguh jari jemari ini tidak menari. Bukan kerana tidak ingin berkongsi tetapi masa yang membatasi. Namun kedatangan `Idul Adha 1433H kali ini sememangnya memberi seribu satu makna kepada diri penulis lantas “mencuri” masa sebentar untuk mencoretkan sedikit kata, semoga bermanfaat untuk semua.

Daku menulis bukan untuk nama,
Bukan jua untuk harta,
Apatah lagi untuk dunia,
Tetapi bilamana jari jemari ini kian melenggok,
Menari alunan bisikan hati dan nurani,
Dipandu ilmu dan iman yang jitu,
Semoga beroleh manfaatnya nanti.

Pengorbanan Vs `Idul Adha

Bilamana kita sebut mengenai `Idul Adha, maka ramai yang membuat pelbagai andaian dan mereka memandang dari perspektif  yang pelbagai. Ada yang melihat Hari Raya Qurban ini adalah acara penyembelihan lembu, ada yang memandang ini adalah musim daging, ada yang berpendapat bahwa ini adalah sekadar adat sahaja bermula dengan Khutbah,Solat Hari Raya, bermaafan sesama keluarga. Namun tidak kurang yang memandang perkara ini mengikut lunas sirah Nabi Allah Ibrahim A.S. Menelusuri sejarah dan sirah bagaimana seorang ayah sanggup menyembelih anak yang didambakan sekian lama. Hal ini sekali gus menuntut sifat taabud dan taat yang sangat tinggi. Allah menguji hambaNya yang beriman dengan ujian yang berat dan setimpal dengan keimanan mereka. Tidak Allah timpakan bebanan yang tidak mampu digalas oleh mereka. Sebagai contoh adalah bagaimana ujian Allah timpakan kepada Nabi Ibrahim AS. Bertahun-tahun kahwin tetapi tidak mempunyai anak bersama Siti Sarah. Sekali gus ini merupakan suatu pengorbanan yang tinggi yang mesti dilalui mereka berdua.Lalu diilhamkan Siti Sarah untuk mengahwinkan suaminya dengan Siti Hajar, seorang gundik puteri Mesir yang dihadiahkan Raja Mesir kepada Siti Sarah. Tentu saja remuk hati seorang perempuan tatkala diduakan oleh suaminya, namun landasan iman dan taqwa yang mengatasi segala perasaan Siti Sarah. Sesungguhnya ini adalah suatu pengorbanan yang besar ditunjukkan oleh Siti Sarah. Betapa kita melihat besarnya jiwa beliau dalam menghadapi perkara sesulit ini.


Setelah Nabi Ibrahim As mengahwini Siti Hajar dan saat beliau mengandungkan Ismail AS, maka Allah memerintahkan Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya di padang pasir yang tiada tempat berlindung dan tiada sumber air dan makanan. Beberapa kali Siti Sarah merayu agar Nabi Ibrahim jangan meninggalkan mereka berdua tetapi Nabi Ibrahim tetap tegas meninggalkan mereka sehinggalah Siti Sarah bertanya, “Adakah ini perintah Allah?” Nabi Ibrahim menjawab “Ya, Ini adalah perintah ALLAH”, beliau terus pergi tanpa menoleh ke belakang bimbang perasaan belas kasihan akan menelubungi dirinya dan akan menggugat dirinya menjalankan perintah tuhannya. Lalu redha Siti Sarah dengan ketentuan dan ketetapan ALLAH. Tuan, bayangkan betapa besarnya pengorbanan yang mereka tempuhi, ditinggalkan keseorangan di padang pasir(Mekah sekarang). Hal ini memperlihatkan kesabaran yang tinggi ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim As dan Siti Sarah. Sehubungan dengan itu, betapa episod pengorbanan mereka berterusan sehinggalah Allah swt memerintahkan Ibrahim AS untuk mengorbankan apa yang paling disukainya dan mimpi ini datang berulang kali. Setelah menakwilkan mimpi tersebut, Nabi Ibrahim sedar bahawa yang paling disukainya adalah Ismail AS. Anak yang didambakan sekian lama, ditunggu-tunggu berpuluh tahun, sampai masanya ALLAH memerintahkannya untuk disembelih. Apa perasaan seorang ayah apabila hendak menyembelih anaknya? Ini jelas menunjukkan jika kita ingin berkorban, maka korbankan perkara yang paling kita sukai. Sehubungan dengan itu, Nabi Ibrahim tidak seperti manusia yang lain, ketaatan kepada ALLAH mengatasi segala-galanya. Mentaati perintah ALLAH adalah WAJIB baginya, tidak mungkin baginda melanggar arahan ALLAH.

Justeru, pengorbanan Nabi Ibrahim as wajar kita telusuri bersama. Sungguh besar pengorbanan baginda sehingga Allah swt menjadikan Hari Raya I`dul Adha adalah untuk memperingati pengorbanan yang telah baginda tempuhi. Sahabat, ingatlah bahawa semakin besar pengorbanan kita, semakin besar jasa kita, semakin besar jasa kita semakin kita dihargai, semakin kita dihargai semakin kita disayangi, semakin kita disayangi semakin berbahagia kita. Sehubungan dengan itu, hari raya yang kita sambut pada hari ini berkait rapat dengan pengorbanan Ibrahim AS dan wajiblah bagi kita berkorban untuk agama islam tercinta ini.


Pengorbanan & Mahasiswa

Disebut mahasiswa pastinya ramai berpendapat bahawa mahasiswa adalah harapan negara sehinggakan satu slogan pernah diutarakan iaitu “Mahasiswa mewajahi ummah”. Namun perlu diingat, harapan yang besar ini perlu digalas PENGORBANAN yang besar. Mana mungkin mahasiswa yang intelek dapat dilahirkan jika kita masih berada di takuk lama. Masalah-masalah yang melanda mahasiswa dewasa ini amat menggerunkan kita semua. Nama sahaja penuntut universiti tetapi adab dan akhlak entah ke mana, nama saja mahasiswa tetapi minda seperti mereka yang tidak bersekolah, nama mahasiswa tetapi mengandungkan anak luar nikah. Ada mahasiswa yang hanya “mahasiswa”, paginya ke kuliah, petangnya balik kuliah, malam membuang masa dan hanya melepak kat rumah, tanpa ada sekelumit jasa untuk ummah. Mahasiswa kini WAJIB tahu fungsi dan peranan masing-masing. Jangan menjadi mahasiswa sekadar nama tetapi hayatilah erti kata mahasiswa yang sebenar.

Mahasiswa banyak dikaitkan dengan pemuda. Allah berfirman dalam Al-Furqan   انهم فتية امنوا بربهم وزدناهم هدى"” bermaksud “Mereka itulah pemuda yang beriman dengan tuhan mereka dan Allah menambahkan petunjuk bagi mereka” Zaman muda adalah zaman yang sangat bernilai dalam kehidupan kita. Pemuda juga dikaitkan dengan nilai kekuatan, sama ada kekuatan jasmani dan akal. Tubuh badan mereka kuat, begitu jua akal mereka. Oleh sebab itu, gunakanlah zaman mudamu dengan baik wahai mahasiswa sekalian. Biarlah perilaku dan perbuatan kita memberi sumbangan kepada islam. Jika tidak besar, sedikit pun tidak mengapa. Jangan jadi mahasiswa yang  tidak memberi apa-apa sumbangan untuk Islam bahkan menjadi FITNAH kepada islam itu sendiri. Kaedah fiqh ada mengatakan “لا يدرك كله ولا يترك كله” Jika tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua. Jadi sumbangkan jasa anda untuk Islam walaupun sekelumit cuma. Kepada yang berilmu, sebarkan ilmu anda, kepada yang bijak menyusun kata madah pujangga sebarkan madah anda biar semerbak kasturi, kepada yang lantang berkata-kata gunakan kelebihan yang Allah hadiahkan ini, kepada yang pandai karikatur gunakan karikatur untuk mendidik masyarakat mengenali islam. Lukiskan kartun-kartun islamik dan komik islamik yang bertujuan mendidik masyarakat. Kepada yang meminati bidang IT, gunakan medium IT sebagai wasilah untuk kita berdakwah. Gunakan medium perantara Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya untuk kita berkongsi ilmu dan nilai islam itu sendiri. Jangan anda jadikan medium IT ini sebagai halangan untuk anda dekat dengan Allah, bahkan gunakan ia untuk tujuan yang baik dan pastinya ganjaran Allah turut akan mengiringi bersama. Sedihnya pada hari ini apabila pemuda pemudi gagal memanfaatkan kemudahan IT yang tersedia dengan baik, mereka gunakan IT hanya untuk tujuan bersosial semata-mata sehinggakan ada dalam kalangan gadis yang kehilangan dara berpunca dari Facebook!! Amat memalukan!! Justeru itu, gunakan medium IT sebagai advantage untuk kita bukannya bebanan kita di akhirat nanti.

Sehubungan dengan itu , mahasiswa perlulah banyak memerah keringat dan idea demi memastikan survival mahasiswa terus terbela..Jangan kita menjadi lembu yang dicucuk hidung, tetapi jadilah mahasiswa yang ada jati diri dan maruah diri. Gunakan masa kita sebaik mungkin dan lakukan pengorbanan untuk membangunkan diri kita seterusnya dapat kita membangunkan ummah tercinta ini. Saranan saya, mahasiswa kena banyak berkorban dan pengorbanan itu tidak bermusim. Ada kalangan kita yang berkorban mengikut tempoh masa tertentu contohnya bila nak dekat exam. Ini suatu falsafah yang silap kerana pengorbanan itu dituntut dalam setiap masa dan ketika. Korbankan perkara yang sedap, untuk kita beroleh perkara yang sedap.

Kesimpulan.
Sempena kehadiran Idul Adha, kita telusuri bersama kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Siti Hajar dan Nabi Ismail AS. Namun perlu diingat, pengorbanan ini perlu dicontohi bukan sekadar diamati tetapi perlu dihayati. Menurut seorang ulama` haraki erti kata pengorbanan yang sebenar apabila kita korbankan harta, masa , jiwa , hidup kita untuk menegakkan agama ALLAH. Semoga Idul Adha kali ini memberi semangat baru kepada kita untuk kita melakukan pengorbanan yang lebih serius demi menggapai cita-cita dan redha ALLAH.  Tanyakan diri kita betapa sudah cukupkah jasa kita kepada Islam???

No comments:

Post a Comment