Thursday, 25 October 2012

Air Mata Lebaran

Suasana suram muram sedih rindu kasih nan syahdu kian berpusing ligat di ingatan.
Jika dahulu lebaran ini disambut bersama keluarga tercinta, namun kali ini lebaran `Idul Adha jelas berbeza. Tiada lagi ummi abah di sisi, tiada lagi adik-adik yang menemani, tiada lagi saudara dan sahabat tempat berkongsi. Dahulunya persiapan raya dilakukan bersama keluarga tercinta namun kini lokasi itu terletak lebih 8000km dari jasadku. Jika dahulu kami keluar solat Hari Raya bersama-sama namun saat itu kini menjadi kenangan yang abadi dalam memoriku. Biarpun berjauhan jasadku dan  mereka yang ku cintai, namun jiwa ini sentiasa terasa dekat.

Biar jarak memisahkan kita,
Biar jasad jauh tersiksa,
Biar jiwa terus rindu melena,
Biar sanubari terus derita,
Biarpun pahit bagai hempedu
Asalkan niat dan gagasan yang daku pikul terus terlaksana.
Biarlah derita dan siksa itu menjadi saksi kebahagiaan kita sekeluarga.

Ummi abah lap lah air mata mu dengan tanganmu kerana suatu masa nanti kejayaan ku akan mengelap duka diwajahmu. Biarkan air mata mu mengalir kerana kasihkan daku, biarkan air matamu mengalir kerana cintanya sepasang ibu bapa kepada anaknya, biarkan air mata mengalir kerana rindumu untuk bertemu kejayaan anakmu. Usah bicara soal perjuangan tanpa keringat yang perlu dititihkan. 

Ummi abah, inilah perjuangan kita!! Usah bersedih, sungguh Allah bersama kita, Allah pasti meredhai redhanya kamu sekeluarga. Daku percaya Allah telah hamparkan duri disepanjang laluan kita, tinggal saja orang yang kuat dapat sampai ke garisan penamat. Saat itu dirimu pasti menangis melihat daku di podium kejayaan. Akan ku bawakan kamu terbang bersamaku. Akan ku bela nasib dihari tuamu nanti. Ku hadiahkan kejayaan ku nanti untuk kamu, hanya untuk kamu. Apa yang ku perlukan adalah iringan doa restu ummi dan abah, sesungguhnya doa kalianlah yang terus mengiringi daku dalam perjuangan ini.

Kata semangat dan saranan kamu menjadi azimat bermakna buat hati ini. Terkadang daku jatuh tersungkur, rebah menyembah bumi, saat itu daku rasakan keseorangan, bagaikan tiada makhluk sudi berada di sisi, lalu ku buka kalam ALLAH, menitip setiap bait kalimah yang Maha Agung, lantas air mata ini tidak henti terjun. Ummi abah, tidak dapat ku bayangkan perasaan ketika kita berjauhan , jika dulu setiap hari ku mendengar kalam mu namun kini itu menjadi arkib berharga dalam memori.

Ummi abah, selalu sahaja ku sembunyikan kesedihan dihati ini, ku persembahkan kegirangan untuk menutup deritanya hati. Perasaan rindu kian membuak-buak memenuhi dada. Namun daku yakin dirimu pasti lebih sedih melihat daku begitu. Lalu daku dapatkan kekuatan , ku atur langkah mencoretkan kejayaan. Kerana ku yakin sungguh insan berjiwa besar itu tidak menjadikan batu kecil sebagai halangan buatnya. Sungguh insan berjiwa besar itu tidak melihat kepada perkara remeh temeh, tetapi memandang hakikat perjuangan yang ditempuh. Usah dilihat kepada peritnya usaha, tetapi pandanglah manisnya KEJAYAAN. Ku ingin menjadi yang terbaik!!

Ummi abah, saat daku mencoretkan nota ini air mata terus saja mengalir. Namun usah gusar kerana air mata ini menjadi “minyak” dan sumber kekuatanku di sini. Air mata ini menjadi saksi betapa ku rindukan kamu sekeluarga. Jangan sedih jangan runsing kerana air mata ini bukan pemusnah, tetapi sumber kekuatan api semarak perjuangan. Ku hamparkan doa kepada ALLAH semoga kita sekeluarga diberikan kekuatan untuk menghadapi hari-hari sulit, daku berdoa agar ALLAH berikan yang TERBAEK untuk kita semua. Percayalah ummi abah, Allah tidak akan hadiahkan kejayaan tanpa menguji kita semua. Semakin berat kita di uji semakin bahagia kita nanti.

Salam Lebaran dari abe n kakak buat ummi, abah, adik ya dan adik idi. Juga tidak dilupakan buat seluruh ahli keluargaku disana, Mokma , tok ayah, Mek, Mak Long n Ayah Long sekeluarga, angah ngah che ngah n keluarga, ayah c n che da sekeluarga, Mokna ayah Li n Atif Nukman, Ayah pih che ma n baby yang bakal lahir, Ayah Su n Ayah Mat semoga cepat mendirikan masjid. Tidak dilupakan juga kepada sepupu-sepupu ku disana.

Yang ikhlas mencintai kalian,

Abdullah Hussin

1105, Wisma Sultan Muhammad V
Hayyu Sabiek, Madinatu Nasr, Cairo, Egypt

No comments:

Post a Comment