Friday, 17 January 2014

Warkah Ilmu Buat Mahasiswa

Fitrah datang ke Mesir, masing-masing pasakkan dalam diri untuk menjadi ulama`. Naluri sebagai sebagai seorang penuntut ilmu itu mempunyai sifat cinta dan kasih akan ilmu itu sendiri.

Sebelum kita meneroka lebih jauh, beberapa persoalan ingin dilontarkan untuk santapan kita bersama. Kenapa pilih jurusan agama@medik? Kenapa datang ke Mesir? Jawapan kepada dua soalan inilah yang akan menjadi asas kepada kita untuk terus menongkah bahtera di bumi serba mencabar ini.

Setelah menjawab kedua soalan diatas, kita semua bersepakat bahawasanya semuanya memerlukan ilmu sebagai petrol yang akan menjana kenderaan kita. Ya, sebab itu kita datang ke Mesir kerana kita dahagakan lautan ilmu tersebut.


Ilmu sebagai prakarsa mendekatkan diri kepada ALLAH.
Allah SWT berfirman dalam Quran yang bermaksud, Allah mengangkat darjat orang berilmu dan beriman dalam dalam kalangan kamu dengan beberapa darjat.

Sudah terang lagi bersuluh orang berilmu mempunyai kedudukan yang istimewa disisi Allah SWT. Kepada siapa Allah bagi kelebihan-kelebihan kalau bukan orang berilmu? Mereka diganjari pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang tidak dicapai manusia biasa. Bahkan darjat mereka lebih tinggi daripada `abid (ahli ibadah). Sabda Rasulullah SAW :


عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "فقيه واحد أشد على الشيطان من ألف عابد"           
                          رواه الترمذي وابن ماجه

Yang bermaksud, “Seseorang yang alim itu lebih ditakuti syaitan daripada seribu orang abid.”                      Hadis dikeluarkan oleh Tarmizi dan Ibn Majah

Bergembiralah wahai penuntut ilmu sekalian. Betapa tingginya darjat kamu di sisi ALLAH.


Menuntut ilmu itu jihad.


عن أنس رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "من خرج في طلب العلم فهو في سبيل الله حتى يرجع"    
أخرجه الترميذي          

Daripada Anas RA berkata, sabda Rasulullah SAW : “Barangsiapa keluar menuntut ilmu maka dia sebenarnya berjihad di jalan Allah sehingga dia kembali.” Hadis dikeluarkan oleh Imam Tarmizi RA

Bergembiralah wahai penuntut ilmu sekalian, setiap langkah kita ke kuliah, kelas talaqqi semuanya dikira sebagai jihad dijalan Allah. Berbekalkan hati yang ikhlas belajar keranaNya nescaya Allah akan mencatatkan pahala yang tidak terkira banyaknya!


Menuntut ilmu adalah jambatan ke syurga

 قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهَل الله له به طريقا إلى الجنة.             
                       رواه الترمذي وابن ماجه

Sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa yang menjalani suatu jalan yang mencari ia didalamnya akan ilmu, maka Allah SWT memudahkan baginya jalan menuju ke syurga.

Maka kuatkan azam dan tekad untuk kita menjadi seseorang yang berilmu. Benar kata Imam Syafie RA, Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan menyuluh pembuat maksiat. Hindarkan diri anda daripada melazimi maksiat, segera bertaubat jika berbuat, InsyaAllah kita akan jadi mukmin yang kuat.

Wallahu a`lam.

Abdullah Hussin,
Kuliah Bahasa Arab Universiti Al Azhar.

No comments:

Post a Comment