Thursday, 28 May 2015

Maqasid : Khitab dan Ahkam

Assalamualaikum. Dewasa ini kerap kita mendengar orang yang bercakap mengenai Maqasid. Sehinggakan tajuk ini menjadi bualan rakan-rakan mahasiswa di menara gading. Tidak kurang jua ada yang menjadikan maqasid sebagai topik perbualan di kedai-kedai kopi. Pesan saya satu sahaja, pastikan kita benar-benar memahami maqasid dalam erti kata yang sebenar, jika tidak maqasid akan menjadi mafasid (kerosakan).

Baiklah, sebelum kita pergi lebih jauh hendaklah kita memahami maksud Maqasid.

Apa itu MAQASID?
Maqasid (مقاصد) adalah perkataan bahasa arab yang berbentuk jamak(banyak). Mufrad(singular) bagi maqasid adalah Maksud ( مقصود @ مقصد) yang bermaksud "Apa yang berkaitan dengan niat dan hala tuju kehendak kita samada perkataan mahupun perbuatan."

Justeru, Maqasid Syariah[1] adalah:
“Makna, tujuan, hasil dan natijah yang berkaitan dengan khitab syar`ie[2] dan taklif syar`ie yang dikehendaki daripada mukallaf[3] berusaha untuk mencapainya.”

Maka difahami daripada takrif diatas bahawa, syariat menuntut kita (mukallaf) untuk berkehendak sebagaimana syariat berkehendak. Ilmu ini merupakan Fardu Kifayah wajib atas sesebuah masyarakat untuk melahirkan seorang alim yang mempelajari dan mendalami ilmu ini.

Pendapat Ulama Sekitar Takrif Maqasid.
·         Al-Qadi I’yad mendifinisikan maqasid sebagai mengelakkan kemudaratan.  Katanya, “Berhukum untuk mengelakkan kemudaratan adalah wajib”.

·         Ibn al-Arabi menyifatkan maqasid sebagai mengelakkan kesusahan atau masyaqqah(kesusahan). Kata Ibn al-Arabi, “Tidak harus membebankan seseorang dengan apa yang dia tidak mampu.”
·         Ibn Asyur mendefinisikan maqasid sebagai “Segala pengertian yang dapat dilihat pada hukum-hukum yang disyariatkan pada keseluruhannya atau sebahagian besarnya.”
·         Al-Izz bin Abdul Salam mengatakan “Syariat itu semuanya maslahah, sama ada menolak kejahatan atau menarik kebaikan.”

Selain daripada itu, Dr Ahmad Raisuni telah membahagikan Maqasid Syari` مقاسد الشارع kepada dua bahagian iaitu :
o   Maqasid Khitab مقاصد الخطاب
o   Maqasid Ahkam مقاصد الأحكام

Maqasid Al - Khitab مقاصد الخطاب
Ia adalah maksud yang tersirat di sebalik nas ­النص samada Quran atau Hadis. Maqasid Khitab terbahagi kepada dua iaitu :
o   Bukan Maksud غير مقصود
Ø  Kita segera faham daripada nas. Namun masih memerlukan penelitian dan pendapat ulamak untuk mendapatkan makna yang lebih dalam
o   Maksud مقصود
Ø  Sekali imbas, sukar untuk kita memahami maksud nas. Maka untuk itu, tugas ulamak untuk mengatakan maksud nas ini adalah sedemikian-sedemikian.

Maqasid Ahkam مقاصد الأحكام
Maqasid Ahkam merupakan jawapan atau penerangan kepada persoalan yang timbul daripada kehendak syarak dalam Maqasid Al-Khitab.
Apakah yang dimaksudkan dengan nas tersebut? Apakah tujuan Allah atau Nabi mengutarakan kepada manusia ayat Quran atau hadis tersebut? Apakah faedah kepada kita hasil daripada pengaplikasian hukum syarak ini? Apakah maksud pensyariatan ini? Semua persoalan ini dikupas dibawah Maqasid Ahkam.

Contoh aplikasi Maqasid Khitab dan Maqasid Ahkam.
Firman Allah dalam Surah Taubah ayat 103,
           
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً
“Ambillah daripada harta mereka sebagai sedekah.”
Secara zohir ayat ini adalah suruhan Allah kepada Rasulullah untuk mengambil harta daripada manusia dengan kadar (tidak ditentukan) diatas jalan sedekah.

Maqasid Khitab : Ayat diatas ditujukan kepada sekalian mukallaf, dan ditujukan kepada muslim yang ada ciri-ciri tertentu. Dan yang dimaksudkan dengan harta adalah kadar yang tertentu daripada harta tersebut yang kita namakan sebagai nisab. Yang dimaksudkan dengan “ambil” pula mestilah mempunyai alasan tertentu contohnya zakat, bukannya ambil dengan semberono. “Sedekah” pula diberikan kepada golongan tertentu yang mana dijelaskan dalam ayat lain mengenai Asnaf Zakat, bukannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki.
Lihatlah bagaimana Maqasid Khitab berperanan memandu kita memahami nas Quran ini.

Maqasid Hukum : Maka peranan maqasid hukum adalah menghuraikan beberapa persoalan seperti :
Ø  Kenapa diambil daripada manusia nisab harta mereka kemudian diberikan kepada orang lain. Dan pemberian itu dianggap sebagai pemilikan sah disisi syarak?
Ø  Kenapa dibayar kadar tertentu kepada  orang lain?
Ø  Kepada asnaf manakah yang dikhususkan menerima zakat?

Jawapan kepada persoalan diatas adalah terkandung dalam Maqasid Hukum. Iaitu selepas kita sudah jelas berkenaan dengan Maqasid Khitab. Maqasid Khitab inilah yang sering diistilahkan oleh ulamak Kontemporari sebagai Maqasid Syariah.
Wallahu a`lam.

Disediakan oleh,
الفقير إلى عفو ربه
Abdullah bin Hussin,
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti Al Azhar, Kaherah.

*Mohon teguran para asatizah sekiranya terdapat kesalahan dan teguran dalam penulisan diatas.




[1] Prof. Dr Ahmad Raisuni, Madkhal Ila Maqasid Syariah, Cetakan Ketiga, Mansurah, Darul Kalimah (2014)
[2] Maksudnya : Ayat Quran, Hadis atau hukum yang ditujukan kepada seseorang.
[3] Maksudnya : Orang yang diberati hukum syarak keatasnya.

Read more...

Buku Pertama Saya : Jom Masuk Syurga

Alhamdulillah. Buku ini sudah berada di dalam pasaran kedai-kedai buku utama seluruh Malaysia. Setelah sekian lama pasang niat dihati mahu menulis buku sendiri, Allah kabulkan doa itu pada tahun ini. Bagi saya remaja kini perlu mengisi masa mereka dengan memberi manfaat kepada masyarakat. Lihat saya dalam kehidupan para sahabat, ramai antara mereka yang sudah menjadi penglima perang, pendakwah, pembela agama Allah meskipun baru berusia 15 tahun.

Tersusun cantik si dia

Ini sekaligus membuktikan bahawa umur bukan pengukur kematangan, tetapi bagaimana kita berfikir dan bertindak sebenarnya kayu ukur sebuah kematangan. Maka pesan saya kepada rakan-rakan sekalian, ayuh gunakan masa kita semaksima mungkin untuk kebaikan kepada ummah.

Berbalik kepada buku saya ini, saya menggunakan pendekatan simple, ringkas, santai dalam menyampaikan setiap point. Ini sekaligus menjadikan buku ini sebagai bahan bacaan santai, tetapi membawa maksud dan mesej yang jelas. Dalam buku ini, saya membahagikan setiap bab kepada tajuk kecil, dan setiap tajuk kecil ada kesimpulan dan ibrah yang tertentu. Ini bagi membantu anda yang sibuk dengan pelbagai urusan, ambil masa 5 minit sahaja sudah cukup untuk membaca tajuk kecil tersebut, namun daripada 5 minit itu ada ibrah dan pengajaran yang ingin saya sampaikan melaluinya.


Review Buku Jom Masuk Syurga

1) "Buku ini menginspirasikan pembacanya termasuk saya sendiri untuk tabah dan seronok bermujahadah demi mencapai syurga. Buku ini bukan sahaja menceriakan APA itu kelebihan syurga, malah memberi panduan BAGAIMANA untuk mencapainya dengan berpandukan nas yang sahih dan contoh daripada sahabat Nabi Muhammad SAW yang mulia. Jika anda sedang berfikir adakah berbaloi memiliki buku ini, pergi ke kaunter bayaran, beli dan miliknya segera. Ini adalah antara pelaburan anda untuk ke syurga!"

Amin Idris
Master Trainer AiTC
Pengacara TVAlhijrah
Penulis Buku

2) "Buku karangan Ustaz Abdullah Hussin ini merupakan penulisan yang membawa pembaca kepada Allah SWT dalam gaya santai dan dekat di hati masyarakat. Tips dan ciri-ciri seorang Mukmin sejati diterjemahkan dalam bahasa yang mudah, kiasan yang tepat serta contoh-contoh yang bersesuaian. Buku ini seharusnya dimiliki dan dihadami oleh semua lapisan masyarakat khususnya anak-anak muda dalam usaha menjadi Mukmin soleh yang menjadi pendamba syurga Allah."

Dr. Mohd Norhusairi bin Mat Hussin
Pensyarah Kanan,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.

3) Membaca tulisan ini seolah-olah saya sedang menapak satu persatu anak tangga menuju Syurga. Santai, mudah dan membekas di jiwa. Sepatutnya bagi para pembaca memiliki buku ini dan sama-sama menapak ke SyurgaNya yang didambakan.Tahniah kepada Ustaz Abdullah Hussin. Semoga bermanfaat dan menjadi bekalan untuk menuju ke sana kelak. 
Ustaz Mohd Nazrul Abd NasirPendakwah dan Pembimbing Majlis Ta'lim Nurul Musthofa. 




4) "Saya sangat tertarik dengan buku ini. Apa yang di utarakan membuatkan pembaca lebih sedar dan memahami bahawa ada banyak sekali potensi dalam diri kita sebagai manusia yang sebaik-baik kejadian. Dengan mengaplikasikan ilmu dalam buku ini insyaAllah kita benar-benar akan menjadi manusia yang lebih baik dan bermanfaat bagi  ummat. Selain itu, positif dengan Tuhan adalah kuncinya. Tahniah buat Ustaz Abdullah Hussin atas penghasilan buku yang sarat dengan manfaat buat pendamba syurga. Jom masuk syurga!"
Ust Jamal Najmuddin bin Sulaiman,Pendakwah Bebas.
Alhamdulillah, buku ini mendapat respon yang sangat baik daripada tokoh-tokoh ilmuan muda seperti Ustaz Nazrul, Ust Jamal dan Dr Husairi. Begitu juga respon yang sangat positif daripada motivator terkenal Amin Idris. Namun begitu, review Ustaz Nazrul dan Ustaz Jamal belum lagi dimuatkan dalam cetakan pertama, insyaAllah ada dalam cetakan yang kedua nanti.

Bagaimana anda boleh dapatkan buku ini?
a) Dapatkan di kedai-kedai buku utama berdekatan dengan tempat anda.

b) Tempahan melalui online di sini (sila tekan link ini)

Disamping itu, anda boleh membuat komentar berkenaan buku ini di pautan ini.

Saya sebagai penulis berharap agar buku ini memberi manfaat yang besar kepada pembaca sekalian. Semoga segala usaha ini menjadi penerang dan lampu di dalam kubur penulis nanti. Amin

Galeri Buku Jom Masuk Syurga
















Read more...