Allah Sentiasa Ada Untuk Kita.
Tatkala kita bersedih berduka, kita merasakan seolah satu dunia membenci kita. Terkadang kita lakukan kesalahan kecil sahaja, tetapi manusia seluruhnya mencemuh kita seolah kita sudah melakukan dosa besar. Percayalah, tiada kekasih yang lebih setia melainkan Allah yang mendengar setiap luahan hambaNya.
Hamparkan setiap relung kedukaan di hadapan Allah, alirkan air mata, adukan segala masalah kepada Allah kerana Dia adalah pendengar yang setia. Kalau kita berkongsi masalah dengan manusia, boleh jadi lama-kelamaan beliau akan pandang serong kepada kita. Namun bilamana kita luahkan kepada Allah, maka itu menambahkan kasih Allah kepada kita.
Ada kisah seorang pemuda zaman tabien yang sentiasa melakukan maksiat. Tiba suatu hari beliau ingin bertaubat. Maka beliau bertaubat siang dan malam daripada dosanya. Setiap malam beliau bangun daripada tidur lantas mengerjakan solat malam dan taubat memohon ampun daripada Allah. Perkara ini berterusan selama 50 tahun lantas beliau tertanya-tanya apakah taubatnya itu diterima Allah? Lalu beliau berdoa agar Allah menghantar isyarat apakah taubatnya diterima.
Kemudian beliau tidur dan bermimpi bahwa Allah suka melihat hambaNya bertaubat. Oleh kerana itulah Allah campakkan perasaan berdosa padanya, maka dia akan terus sentiasa bertaubat meskipun Allah sudah pun menerima taubatnya.
Oleh itu, jangan lah kita merasakan diri keseorangan, sedangkan Allah sentiasa ada untuk kita. Allah sentiasa dekat kepada kita bahkan Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita berubah menjadi hambaNya. Bertaubatlah daripada segala dosa dan noda yang menghanyutkan kita.
Jom dekat dengan Allah.
Firman Allah Taala dalam Surah Baqarah ayat 186,
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
"Dan bilamana hambaku bertanya tentang aku, maka ( beritahu mereka) sesungguhnya aku sentiasa hampir (kepada mereka). Aku akan memperkenankan permohonan orang yang berdoa bilamana dia berdoa kepadaku."
Lihatlah Alam Ini
Bilamana kita melihat kepada awan yang berarak, langit yang membiru, rumput yang menghijau, pepohon yang melambai maka lantas akan teringat akan kekuasaan yang kehebatan Allah. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 190-191.
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآَيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ * الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Sesungguhnya pada kejadian langit, bumi dan peredaran malam siang adalah sebagai tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir. Mereka yang mana mengingati Allah dalam keadaan mereka berdiri, duduk, dan baring. Dan mereka memikirkan pada kejadian langit dan bumi lalu mereka mengatakan “Wahai Tuhan kami sesungguhnya tidak engkau lakukan semua ini sia-sia, maha suci Engkau maka jauhkan kami daripada azab api neraka.”
Lihatlah alam ini nescaya kita akan merasakan kerdilnya kita dihadapan Allah. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mana mengingati Allah dalam setiap keadaan. Justeru dengan kita merenung penciptaan langit dan bumi, peredaran siang dan malam akan mendekatkan diri kita kepada Allah. Kebesaran Allah akan meresap masuk dalam jiwa kita. Maka hilanglah segala kebesaran dunia, harta pangkat, wang berjuta semuanya tenggelam dek kehebatan Allah.
Alam ini juga bukti adanya Allah. Sebagaimana yang kita tahu, alam adalah perkara baharu, maka bagi setiap perkara baharu adanya pencipta dan pencipta alam ini adalah Allah. Mana mungkin semua perkara terjadi dengan sendiri, tidak masuk akal bumi terjadi dengan sendiri melainkan ada kuasa yang menjadikannya. Ketahuilah, Allah yang menjadikam semua perkara dengan kekuasaan dan keagungannya.
Allah Tahu Apa Yang Terbaik Untuk Kita
Bila sebuah kereta mengalami kerosakan, mekanik tahu apa yang perlu di buat. Samada tukar minyak hitam, baiki enjin, tambah air dalam radiator dan sebagainya. Begitu juga Allah swt tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
Masalah hati, akhlak yang kurang baik, tidak cinta Allah dan Rasul, itu adalah masalah insan. Hati manusia dipenuhi dengan sifat hasad, dengki, iri hati, riya`, takabbur, `ujub, sum`ah dan sebagainya. Maka Allah swt tahu apa ubat bagi segala penyakit hati ini. Dengan kita menghadirkan Allah dalam setiap masa, kita akan ingat bahawa semuanya datang daripada Allah.
Untuk apa kita dengki dan iri hati kepada kelebihan yang ada pada kawan sedangkan kita tahu semua yang ada padanya itu milik Allah jua. Untuk apa kita riya` dalam ibadat sedangkan kita tahu kita beribadat hanyalah untukNya. Apa guna hebat kita di mata manusia, sedangkan kita tahu di akhirat sana semua itu tidak berguna. Kenapa kita mencari pujian manusia, sedangkan dalam masa yang sama Allah tidak redha. Untuk apa kita `ujub berbangga dengan diri kita sedangkan kita tahu Allah boleh menarik balik semua nikmatNya sekelip mata.
Justeru, hadirkan kebersamaan Allah dalam setiap masa dan ketika supaya setiap pergerakan dan helaan nafas kita adalah dalam ingatan kepadaNya. Dan itulah hakikat sebenar seorang muslim yang mengaku beriman dengan Allah.
Semoga Allah hadirkan perasaan cinta kepadaNya dan RasulNya dalam jiwa kita. Kerana orang yang mencintai, tidak akan berbuat sesuatu yang melukai hati orang yang dicintai. Cinta kita kepada Allah membuahkan amal seharian yang sentiasa mencari redhaNya. Semoga bertambah cinta kita kepada Allah swt kerana Allah Kekasih Setia Kita. Wallahu a`lam.
Abdullah Hussin,
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti Al Azhar Syarif.
No comments:
Post a Comment