Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 “Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.” Orang yang berbuat maksiat adalah seumpama mereka yang sengaja mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Walaupun mereka tahu bahawa Allah membenci orang yang berbuat maksiat, namun kedegilan dan kecanduan terhadap maksiat itu sangat menebal sehingga mereka tidak mampu menahan diri.
Ini adalah seumpama memakan buah yang beracun. Walaupun nampak sedap pada awalnya, namun racun itu akhirnya membunuh dirinya. Godaan kepada maksiat sangat kuat. Nafsu dalam diri, syaitan yang menghasut pasti menjadi catalyst (pemangkin) kepada maksiat.
Syahwat
Sesungguhnya syahwat itu dapat mengubah raja menjadi hamba dan kesabaran dapat mengubah hamba menjadi raja, bukankah anda melihat kisah Nabi Allah Yusuf dan Zulaikha?
Nabi Yusuf asalnya bekerja dengan Raja Aziz. Isteri Raja bernama Zulaikha telah terpikat dengan ketampanan Nabi Yusuf dan jatuh hati kepada baginda. Dan Zulaikha berusaha untuk menggoda Nabi Yusuf dengan bermacam helah. Namun Nabi Yusuf berjaya mengelak daripada godaan-godaan tersebut. Setelah berjaya menepis pujukan Zulaikha, beberapa tahun setelah itu Allah mengangkat Nabi Yusuf sebagai Menteri di Mesir. Itu bukti jelas dimana bersabar dengan syahwat itu pasti ada hikmah yang cukup besar.
Firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 23 :
“ Dan perempuan yang Nabi Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Nabi Yusuf dan berkehendakkan dirinya; dan pe
rempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata : “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Nabi yusuf menjawab, “ Aku berlindung kepada Allah (daripada perbuatan terkutuk itu) ; sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang zalim tidak akan berjaya."
Rasulullah s.a.w bersabda akan golongan yang diberi naungan arasy Allah di hari Akhirat kelak. Antaranya adalah pemuda yang diajak berzina oleh perempuan yang cantik lagi hartawan, lalu beliau menepis godaan tersebut dengan mengatakan “Sesungguhnya aku takut akan Allah”.
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِى عِبَادَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ فِى خَلاَءٍ فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ ، وَرَجُلٌ كَانَ قَلْبُهُ مُعَلَّقًا فِى الْمَسْجِدِ ، وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِى اللَّهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ إِلَى نَفْسِهَا فَقَالَ : إِنِّى أَخَافُ اللَّهَ ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَمْ تَعْلَمْ شِمَالُهُ مَا صَنَعَتْ يَمِينُهُ.
رَوَاهُ الْبُخَارِىُّ فِى الصَّحِيحِ
“ Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di Hari Kiamat yang mana tidak ada naungan melainkan naungannya. Pertama, pemimpin yang adil. Kedua, pemuda yang membesar dalam ketaatan kepada Allah. Ketiga, lelaki yang beribadah pada malam hari kemudian dia menangis kerana dosanya. Keempat, lelaki yang mana hatinya terikat dengan masjid. Kelima, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah. Keenam, lelaki yang digoda perempuan yang hartawan lagi baik keturunannya dan cantik untuk berzina dengannya maka lelaki tersebut berkata “ Sesungguhnya aku takutkan Allah”. Ketujuh, seseorang yang ikhlas dalam bersedekah dan menyembunyikan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanan.”
Persiapkan Benteng, Hakis Serangan Syaitan
Diriwayatkan daripada Ka`ab bin al Akhbar berkata “ Benteng kaum mukminin dari godaan syaitan ada tiga iaitu masjid, zikir kepada Allah dan membaca Al Quran.”
Masjid menjadi benteng kerana disini terdapat malaikat yang sentiasa berzikir kepada Allah siang dan malam. Masjid juga adalah Rumah Allah yang mana disunatkan kita beriktikaf di dalamnya. Maka bilamana seseorang memasuki masjid, syaitan menjadi lemah dan tidak berdaya untuk menghampiri rumah Allah SWT tersebut.
Begitu juga saat mana kita berzikir mengingati Allah dan membaca Al-Quran, syaitan akan lemah dan tidak berdaya menggoda kita. Maka berbanyakkan zikir yang ma`thur (daripada quran hadis). Memperbanyakkan amalan pada waktu pagi dan petang seperti ma`thurat, Hizib Bahar, Hizib Nawawi, Ratib Al-Haddad, dan pelbagai lagi amalan zikir yang diajar oleh para alim ulama kita. Jangan dilupa benteng utama iaitu bacaan Al-Quran. Membaca Al Quran sekurang-kurangnya 5 halaman sehari dan insya Allah syaitan akan menjadi lemah dengan izin Allah.
Kesan Dosa ; Peringatan buat pendosa
Dosa akan melenyapkan keberkatan umur, rezeki, amal dan ketaatan. Lebih mudah untuk kita faham, dosa akan melenyapkan segala keberkatan dunia dan keagamaan.
Firman Allah dalam Surah Al A`raf ayat 96.
Dan ( Tuhanmu berfirman lagi) : Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
FirmanNya yang lain : Surah Al Jin ayat 16
(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi) : Bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam) , sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama ) menurunkan hujan yang lebat kepada mereka.”
Athar yang disebutkan oleh Imam Ahmad dalam Kitab Zuhud : Aku adalah (tuhanmu) Allah, jika aku meredhai sesuatu atau seseorang, Aku akan memberkatinya. Keberkatan-Ku tidak ada batasnya. Jika aku marah, Aku akan menurunkan laknat. Laknat-Ku akan sampai kepada anak keturunan yang ketujuh (peringkat)
Jauhi dosa dan maksiat kerana ia menghilangkan berkat. Jika keberkatan hilang, maka apalah nikmat hidup di dunia ini. Berkat adalah nikmat.
Maka palingkan diri daripada maksiat.
Hinanya Pembuat Maksiat
Imam Ahmad dalam musnadnya didapati :
“Ku jadikan kehinaan ke atas orang yang menyalahi perintah-Ku. Setiap hamba yang melakukan dosa dan maksiat, dia turun menuju darjat atau taraf yang rendah. Dia tetap berada dalam tangga yang menurun sehingga dia termasuk golongan al-Asfalin (kumpulan yang paling rendah). Setiap hamba yang melakukan ketaatan, darjatnya akan semakin tinggi. Dia tetap berada dalam tangga menaik sehingga dia tergolong dalam kumpulan al-A`alayyiin (orang yang berkedudukan atau bertaraf tertinggi)
Semakin banyak seseorang hamba itu melakukan maksiat, maka semakin rendah darjatnya disisi Allah sekaligus dia semakin jauh daripada Allah. Bahkan dia akan berada di kedudukan paling rendah dalam kalangan orang islam. Golongan sebegini perlu berhati-hati bimbang terjatuh lembah kufur. Firman Allah dalam Surah Az-Zukhruf ayat 74:
“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa (dengan kekufurannya), kekal selama-lamanya di dalam azab seksa neraka jahannam.”
Hindari diri daripada maksiat, itu yang utama.
Usah Membeli Kesesatan
Ayuh palingkan diri daripada maksiat. Jangan menjadi kaum yang sanggup membeli kesesatan dengan hidayah Allah. Maksiat seumpama najis, usah membayar najis dengan emas. Ada orang sanggup berhabis ratusan duit semata-mata hendak melanggan wanita untuk ditiduri, ada yang berhabis ratusan ringgit untuk mendapatkan arak yang terbaik, tidak dilupakan mereka yang habis jutaan ringgit kerana berjudi.
Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 16 :
“ Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tidak beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.”
Usah lari daripada hidayah Allah dengan berlari menuju maksiat. Dalam erti kata mudah, jangan tinggalkan ketaatan semata-mata untuk berbuat maksiat. Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 86 :
“Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada Hari Kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.”
Begitu besar ancaman Allah kepada mereka yang berbuat maksiat dan dosa. Maka pinta doa agar Allah berikan kita hidayah dan petunjuk untuk kita berjalan diatas ketaatan kepada Nya. Hindar segala macam maksiat yang menggelapkan hati dan melemahkan minda. Maka berusahalah untuk tinggalkan maksiat kerana ilmu Allah itu tidak akan bersama orang yang melakukan maksiat.
Jadilah Hamba Yang Bertaubat
Kata seorang ahli sufi, “Terkadang maksiat itu lebih baik daripada ibadat. Lalu ditanya, bagaimanakah itu? Guru tersebut menjawab, orang yang melakukan maksiat kemudian dia menginsafi dan terus bertaubat itu lebih baik daripada orang yang beribadat tetapi riya` dan menunjuk-nunjuk.”
Semoga kita menjadi hamba Allah yang mampu untuk berpaling daripada maksiat. Kerana maksiat seumpama anjing yang selalu mengejar kita, maka carilah alternatif terbaik untuk mengelakkan diri daripadanya. Lama kelamaan "anjing" tersebut akan letih dan berhenti mengejar kita.
Wallahu a`lam.
Abdullah Hussin,
Kuliah Bahasa Arab,
Wallahu a`lam.
Abdullah Hussin,
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti Al Azhar Syarif
No comments:
Post a Comment