Akal diberikan kedudukan istimewa di
dalam Islam. Allah telah meletakkan akal manusia di tahap tertinggi berbanding
anggota yang lain. Dalam disiplin ilmu feqh, mereka yang hilang akal tidak
dikira sebagai mukallaf, sekaligus mereka terlepas daripada segala tuntutan
syara`. Orang hilang akal tidak wajib keatas mereka solat, puasa bahkan jika
mereka mencuri, merogol dan membunuh sekalipun mereka tidak dikenakan hukuman hudud.
Begitulah
peri penting peranan akal dalam hidup seorang muslim. Apabila diteliti
keistimewaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk yang lain adalah kerana
manusia dikurniakan akal fikiran. Akal yang sempurna memandu manusia ke jalan
yang benar sekaligus menjumpakan Tuhan mereka. Sebagaimana firman Allah
:
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ
وَالَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الأَلْبَابِ
“Katakanlah (kepadanya), “Adakah
sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”
Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah
orang-orang yang berakal sempurna.”
( Surah Az Zumar ayat 9 )
Kemusnahan
Pemikiran Berlaku Disebabkan Penyalahgunaan Akal
Dewasa ini kerap mencatatkan
pelbagai aliran pemikiran yang semakin mengambil tempat di hati muda mudi. Ini
kerana aliran pemikiran tersebut dirasakan sesuai dan adil di mata mereka.
Sedangkan yang sebenarnya, adil dan saksama itu diukur berdasarkan neraca
Tuhan, bukannya akal hamba yang tidak seberapa.
Ada
antara mereka yang menganggap adil itu kesamarataan. Ini sangatlah jelek jika
difikir dengan logik akal sekalipun. Yang dimaksudkan adil adalah meletakkan
sesuatu pada haknya. Penyalahgunaan pemikiran ini menyebabkan muda mudi kita
gemar berfikir sehingga terkadang menyalahi norma ketuhanan. Perlu diingat,
terkadang akal itu disalah guna sehingga membawa kemusnahan kepada mereka
sendiri. Allah ingatkan kita dalam Quran :
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ
كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ
أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ
كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk
neraka jahanam banyak dari Jin dan Manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu
memahami ayat Allah, mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat bukti keesaan
Allah, mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat ;
mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka
itulah orang-orang yang lalai.”
Justeru,
kebobrokan pemikiran asing disebabkan gagalnya akal mereka mencari kebenaran
dan keadilan sejagat iaitu kebenaran dan keadilan islam. Penyalahgunaan akal
dalam menjadi neraca mengenal baik buruk mengharukan lagi suasana ini. Apa
mungkin manusia dapat memikirkan semuanya tanpa ada bantuan daripada Yang Maha
Kuasa?
Tanpa Wahyu
Logik Akal Tiada Guna
Ya benar, akal tiada guna sekiranya
logik tersebut kontra dengan wahyu Rabbaniah. Logik akal hanya diterima
bilamana menepati kehendak sebenar wahyu Quran dan Sunnah. Suka saya memetik
kata-kata Saidina Ali Karramallahu Wajhah, “Sekiranya agama ini hanya sekadar
logik akal, maka manusia akan menyapu khuf di bahagian bawah.”
Oleh
kerana itu, antara hikmah diutuskan Rasul adalah untuk memandu akal manusia
yang sederhana ini untuk mengenal Tuhan Sekalian Alam. Ini kerana setiap kalam
Rasul itu bukan datang daripada hawa nafsu semata-mata namun ia adalah wahyu
Ilahi. Hal ini bertepatan dengan Firman Allah :
وَمَا
يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى َ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى
“Dan dia(Rasulullah) tidak
memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan
pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau
hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”
(
Surah An Najm ayat 3 dan 4 )
Hal
ini demikian kerana Baginda tidak pernah bercakap mengikut hawa nafsu, bahkan
semuanya adalah melalui ilham dan wahyu daripada Allah. Ini sekaligus menjadi
dalil bahawa setiap apa yang diperkatakan oleh Rasul itu benar belaka.
Jadilah Hamba Allah,
Bukan Hamba Isme
Manusia yang gemar meletakkan logik
akal semata-mata sebenarnya menjadi hamba kepada sesebuah aliran pemikiran itu.
Saya juga hairan bagaimana ada muslim yang begitu menyanjungi Karl Marx,
Friedrich Engels, Vladimir Lenin, Stalin dan ramai lagi tokoh barat. Minat
mereka sehingga membawa kepada fanatik yang akan diwariskan kepada anak
keturunan mereka.
Sebagai
seorang muslim, bukankah pada diri Rasulullah itu ikutan pada setiap inci
kehidupan kita? Apakah model kerangka ekonomi negara islam Madinah itu tidak
kuat sehingga terpaksa kita mengimport teori ekonomi kapitalis ? Apakah model
muamalat Baginda belum sempurna sehingga
kita melihat bahawa hanya sosialis yang membawa keadilan sejagat? Apakah model
pentadbiran Baginda belum cukup bagus sehingga kita cenderung untuk
menggunapakai sekular dalam pentadbiran negara kita?
Tidak,
bahkan model yang telah ditunjukkan oleh Baginda adalah sebaik-baik contoh
untuk kita teladani. Allah telah sempurnakan agama ini daripada setiap sudut,
islam yang ada hari ini sudah cukup lengkap untuk semua urusan
dunia kita sehingga mampu mencapah kebahagiaan di akhirat nanti.
Jangan
pula kita menjadi Muktazilah Moden, mahupun golongan Sufustaiyyun yang menilai
baik dan buruk sesuatu itu hanya berdasarkan pancaindera logik akal
semata-mata.
Kesimpulan
Kita sebagai umat islam harus
berbangga dengan adanya Quran, sebuah kitab yang isinya terkandung peristiwa
lepas, semasa bahkan mencapah sehingga masa depan. Seharusnya kitab ini adalah
rujukan tertinggi kita. Akal yang Allah berikan perlu digunakan selari dengan
apa yang diwahyukan kepada kita. Sekiranya ada kontradiksi antara wahyu dan
akal, maka perlu didahului wahyu. Ini kerana akal kita sangat terbatas,
manakala wahyu Allah meliputi segalanya.
Suka
saya petik ayat quran yang berbunyi :
“Dan kamu tidak diberikan ilmu
pengetahuan, melainkan sedikit sahaja.”
( Surah Al Isra ayat 85 )
Kata ulama :
أن
الحسنة ما حسنه الشرع, وأن القبيح ما قبحه الشرع
“Sesungguhnya kebaikan itu adalah
apa yang syara katakan perkara itu baik. Dan keburukan pula adalah apa yang
dipandang buruk oleh syara`.”
Tuntasnya,
akal yang baik dan selamat adalah akal yang dipandu suluhan wahyu Ilahiah.
Setiap pemikiran, gerak fikir semuanya mengikut syara` dan tidak sedikitpun
melanggari syara`. Itulah konsep akal menurut islam.
Wallahu a`lam.
Abdullah bin Hussin
Kuliah Bahasa Arab Tahun Dua,
Universiti Al Azhar Syarif, Kaherah.
No comments:
Post a Comment